7 mengaku tak salah miliki kereta mewah hasil kegiatan judi haram

7 mengaku tak salah miliki kereta mewah hasil kegiatan judi haram

Semua tertuduh membuat pengakuan itu, sebaik pertuduhan dibacakan juru bahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Tiga daripada tujuh tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini bagi menghadapi tuduhan berkaitan kes pengubahan wang haram dalam pengumpulan dan pemilikan harta hasil daripada kegiatan judi haram. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Tujuh individu, termasuk dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan berkaitan kes pengubahan wang haram dalam pengumpulan dan pemilikan harta hasil daripada kegiatan judi haram.

Semua tertuduh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan juru bahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan hakim Helina Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, Chung Chee Yang, 44, dan isterinya Lim Lee Cheng, 40, telah menggunakan sebuah premis sebagai operator mesin judi di Bandar Botanik, Klang pada 15 April 2021.

Chung turut dituduh bersama isteri dan ibunya, Tan Kwee Eng, 65, serta empat lagi lelaki atas dakwaan memiliki enam kereta mewah hasil daripada aktiviti haram itu.

Mengikut pertuduhan, Chung bersama enam lagi tertuduh didakwa memiliki enam kereta mewah, iaitu tiga Bentley, masing-masing sebuah BMW X5, Toyota Alphard dan Honda Accord yang didaftarkan di bawah nama enam individu, iaitu Lim; Kwee Eng; Ng Min Lin, 43; Tan Kah Hock, 37; Khor Beng Sin, 68, dan Lai Yee Peng, 73, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Semuanya dituduh melakukan perbuatan itu di Bandar Sunway, Subang Jaya dan Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 16 April 2021.

Mereka didakwa di bawah Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai daripada hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, manakala semua tertuduh diwakili peguam Aidil Akmal Sharidan, Izzat Dzulkafli dan Ahmad Faiz Munawar.

Harris Ong mencadangkan mahkamah menetapkan wang jaminan RM100,000 kepada Chung, manakala tertuduh lain dikenakan RM50,000 setiap seorang, dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Aidil Akmal bagaimanapun memohon semua tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Hakim membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah. Kes akan disebut semula 31 Mei ini.

Media sebelum ini melaporkan Chung pada April tahun lepas dituduh di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memukul serta mengugut dua pengawal peribadinya menggunakan pistol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.