Kurang anggota bukan Melayu: Kementerian Pertahanan digesa bentuk pasukan petugas

Kurang anggota bukan Melayu: Kementerian Pertahanan digesa bentuk pasukan petugas

Bekas felo di Pusat Kajian bagi Kemajuan Sosial (Refsa) Lam Choong Wah, berkata punca di sebalik kekurangan anggota bukan Melayu sudah pun diketahui.

Jawapan di Parlimen pada 2009 menyebut jumlah orang Cina dan India dalam tentera adalah masing-masing sebanyak 0.3% dan 0.9%.
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan perlu menubuhkan pasukan petugas untuk mendapatkan lebih ramai orang bukan Melayu menyertai angkatan tentera, kata penganalisis pertahanan.

Bekas felo di Pusat Kajian bagi Kemajuan Sosial (Refsa) Lam Choong Wah berkata, punca di sebalik kekurangan anggota bukan Melayu dalam angkatan tentera sudah pun diketahui namun ia memerlukan penyelesaian.

Katanya, kurangnya peluang kenaikan pangkat adalah isu utama dan merupakan masalah institusi.

Dalam jangka masa yang panjang, Lam berkata, panel yang diketuai oleh ketua setiausaha Kementerian Pertahanan perlu dibentuk bagi membetulkan isu sistemik dan merangka pelan tindakan untuk melaksanakan tindakan itu.

Katanya, masalah itu “sudah dikenal pasti oleh pegawai tertinggi” dalam tentera.

Menurut jawapan di Parlimen pada 2009, orang Cina dan India masing-masing menyumbang hanya 0.3% dan 0.9% daripada kakitangan aktif dalam angkatan tentera.

Lebih 13 tahun kemudian tidak banyak yang berubah, kata Lam, yang juga penulis buku bertajuk “Are We Protected? Malaysian Defence Uncovered” yang menyentuh isu berkenaan dan persepsi berat sebelah dalam kenaikan pangkat anggota tentera bukan Melayu.

Katanya, tindakan perlu diambil, bukannya “menyembunyikan masalah yang telah pun diketahui”.

Dakwaan berlakunya diskriminasi dalam angkatan tentera turut dibangkitkan oleh bekas diplomat Dennis Ignatius dalam buku terbaharunya, “Paradise Lost: Mahathir & The End of Hope”.

Katanya, terdapat diskriminasi dalam kenaikan pangkat dan penugasan sejak lewat 1970-an.

Bagaimanapu, bekas panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Toh Choon Siang menolak dakwaan berlakunya diskriminasi sistematik.

Beliau berkata, adalah “mitos semata-mata bahawa orang bukan Melayu tidak berminat untuk menyertai angkatan tentera kerana prospek kenaikan pangkat adalah terhad untuk mereka.”

Presiden Patriot, Brigadier Jeneral (B) Mohamed Arshad Raji berkata, beliau tidak pasti mengapa tidak ramai orang bukan Melayu menyertai angkatan tentera.

“Ketika saya menyertainya pada 1965, lebih 30% (yang direkrut) adalah bukan Melayu dan kini kita tidak melihat perkara itu.”

Beliau mencadangkan agar angkatan tentera mendapatkan lebih ramai pegawai kanan dan veteran bukan Melayu menyertai pasukan pengambilan anggota.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.