Kerajaan tak setuju gaji pembantu rumah RM1,500, kata Saravanan

Kerajaan tak setuju gaji pembantu rumah RM1,500, kata Saravanan

MoU mengenai penempatan dan perlindungan pembantu rumah menyatakan majikan perlu membayar pekerja domestik tidak kurang daripada RM1,500 terus ke dalam akaun bank pekerja setiap bulan.

Malaysia dan Indonesia menandatangani MoU mengenai penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia pada 1 April lalu.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak bersetuju dengan gaji RM1,500 untuk pembantu rumah Indonesia seperti terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan Indonesia, kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Katanya, semasa perbincangan dengan Jakarta, kerajaan tidak bersetuju membayar pembantu rumah RM1,500 kerana gaji minimum di Malaysia ketika itu masih RM1,200.

Menurut salinan MoU yang dilihat oleh FMT, majikan perlu membayar pekerja domestik itu “tidak kurang daripada RM1,500” terus ke dalam akaun bank pekerja selewat-lewatnya pada hari ketujuh bulan berikutnya.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, juga menyatakan pembantu rumah Indonesia perlu mendapat gaji sebanyak RM1,500 sebulan mengikut MoU.

Bagaimanapun Saravanan berkata, beliau tidak berada dalam kedudukan untuk bersetuju menerima gaji minimum RM1,500.

“Saya tidak boleh bersetuju dengan RM1,500 walaupun Indonesia menggesa kami menaikkannya,” katanya pada sidang media hari ini.

“Jika majikan boleh membayar RM1,500 maka terpulang kepada mereka. Tetapi MoU itu bermula dengan RM1,200,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun gaji pembantu rumah warga Indonesia akan meningkat kepada RM1,500 selaras dengan kenaikan gaji minimum pada 1 Mei ini.

Berdasarkan MoU itu juga tambahan 5% daripada jumlah gaji yang belum dibayar perlu ditambah sebagai pampasan jika gaji tidak dibayar tepat pada masanya dan kegagalan membayar gaji selama dua bulan berturut-turut akan memberi hak kepada pekerja domestik terbabit menamatkan kontrak pekerjaan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.