Dadah bukan penawar sakit mental, kata pakar

Dadah bukan penawar sakit mental, kata pakar

Penggunaan dadah dalam ubat tidak dapat mengurangkan tekanan, sebaliknya hanya merehatkan minda daripada fokus kepada masalah.

Tekanan mental bukan berlaku secara mengejut, tetapi berpunca daripada masalah yang tidak ditangani sebaiknya, kata Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie Suzanna Ghazali
PETALING JAYA:
Pengambilan dadah bukanlah penawar kepada masalah mental dan jika diambil tanpa sukatan akan mengundang komplikasi lebih teruk terhadap pesakit.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie Suzanna Ghazali berkata, penggunaan dadah dalam ubat tidak dapat mengurangkan tekanan, sebaliknya hanya merehatkan minda daripada fokus kepada masalah dalam tempoh tertentu.

Beliau berkata, pesakit mental dibekalkan ubat dalam keadaan dibenarkan mengikut tempoh waktu tertentu sehingga keadaan pesakit kembali stabil.

“Ubat tersebut perlu sentiasa diambil hingga masalah yang menjadi sebab kepada tekanan tadi berjaya diatasi. Tekanan mental bukan terjadi tiba-tiba tanpa sebab tapi berpunca daripada masalah yang tidak ditangani sebaiknya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian susulan isu penyalahgunaan dadah oleh individu yang dikatakan mengalami sakit mental, termasuk kalangan mereka yang terlibat dalam dunia hiburan.

Sementara itu, pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fauziah Hanim Abd Jalal menegaskan bahawa adalah salah bagi pesakit mental mengambil ubat mengandungi dadah tanpa rujukan daripada doktor psikiatri mereka.

“Mengambil dadah sebagai ubat adalah salah kerana ubat yang diberi oleh pakar psikiatri adalah mengikut sukatan bersesuaian dan dalam kawalan doktor,” katanya.

Tambahnya, masalah mental dan pengambilan dadah mempunyai hubung kait yang sangat rapat dan jika disalah guna mampu mengganggu akal yang waras sehingga membawa kepada kemusnahan diri sendiri dan orang sekeliling.

Antara masalah kesihatan mental yang sering dihidapi oleh penyalahgunaan dadah adalah kemurungan (depression), keresahan (anxiety), skizofrenia (schizophrenia) dan gangguan bipolar (bipolar disorder).

“Kesan dadah boleh bawa kesan halusinasi atau delusi dan pengambilan dadah seperti syabu dan pil kuda boleh bawa kesan agresif sehingga peringkat halusinasi,” ujarnya.

Beliau berkata, pesakit mental perlu berjumpa pakar psikiatri bagi mendapatkan pelan rawatan selamat termasuk pengambilan ubat yang bersesuaian dengan jenis masalah mental yang dialami.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.