2 individu gagal peroleh kebenaran semakan kehakiman cabar peguam negara

2 individu gagal peroleh kebenaran semakan kehakiman cabar peguam negara

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata pemohon terbabit, S Sivakumar dan M Rajasegaran tidak menyangkal kesahihan keputusan peguam negara untuk tidak memfailkan pertuduhan.

Dua pemohon mendakwa Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan Firdaus Wong menghina agama bukan Islam.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan semakan kehakiman untuk mencabar budi bicara peguam negara untuk tidak mendakwa dua mualaf Muslim kerana dituduh menghina agama bukan Islam.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, pemohon terbabit, S Sivakumar dan M Rajasegaran tidak menyangkal kesahihan keputusan peguam negara untuk tidak memfailkan pertuduhan.

“Hakim berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu, mahkamah boleh menyemak keputusan peguam negara, tetapi dalam kes ini beliau tidak menunjukkan niat jahat,” kata peguam T Gunaseelan berhubung keputusan yang disampaikan secara dalam talian hari ini.

Tonton video di sini.

Bagaimanapun katanya, Wan Ahmad Farid berpendapat Sivakumar dan Rajasegaran mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman itu.

Gunaseelan berkata, beliau diarahkan oleh anak guamnya untuk memfailkan rayuan.

Peguam Persekutuan Noor Atiqah Zainal Abidin mewakili peguam negara.

Sivakumar dan Rajasegaran, yang memfailkan permohonan tahun lalu, mahu pengisytiharan terhadap keputusan peguam negara untuk tidak mendakwa Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan Firdaus Wong Wai Hung seperti direkodkan di Mahkamah Majistret Shah Alam pada April 26 adalah tidak sah dan mesti dibatalkan.

Mereka juga meminta perintah daripada mahkamah supaya peguam negara memfailkan dakwaan terhadap dua mualaf Muslim itu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan penceramah kontroversi Dr Zakir Naik.

Peguam negara, yang dinamakan sebagai responden, menentang permohonan kebenaran itu.

Tindakan itu difailkan selepas Timbalan Pendakwa Raya Ainul Amirah memberitahu majistret bahawa peguam negara tidak bercadang untuk mendakwa Zamri dan Firdaus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.