Saya diugut, kata saksi utama perbicaraan Nhaveen

Saya diugut, kata saksi utama perbicaraan Nhaveen

Kawan baik Nhaveen mendakwa seorang lelaki memberitahunya, wang sudah dibayar untuk membebaskan semua tertuduh dan mereka akan datang mencarinya.

T Previin (kiri) menunjukkan tempat beliau dan T Nhaveen pertama kali dibuli tertuduh kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Radzi Abdul Hamid (empat dari kanan) pada Disember lalu. Turut hadir Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan (kanan).
GEORGE TOWN:
Saksi utama dalam perbicaraan kes T Nhaveen hari ini mendakwa beliau menerima ugutan balas dendam daripada seorang rakan tertuduh yang mendakwa kes pembunuhan itu sudah diselesaikan dengan cara rasuah.

T Previin, 23, berkata, seorang lelaki bernama Paravind yang turut dikenali sebagai “Belang”, membuat dakwaan mengejutkan itu di tempat kerjanya dua tahun lalu.

“Belang kata mereka (tertuduh) semua akan dibebaskan. Dia kata ‘kami sudah bayar untuk semuanya’.

“Dia kemudian kata apabila mereka (tertuduh) dibebaskan, mereka akan datang cari saya,” katanya.

Disember lalu, Previin dalam keterangannya berkata, Belang membawa Nhaveen secara paksa ke Padang Openg, di mana pemuda berusia 18 tahun itu diserang dan kemudian meninggal dunia di hospital akibat kecederaan dialaminya.

Previin juga ingat menerima ugutan daripada dua lelaki bernama Gopi dan Vignes, yang memanggilnya bersemuka di rumah mereka.

Seorang lagi individu bernama Vinod menghubunginya dan memberi amaran supaya tidak memberitahu polis mengenai adiknya, Kugendran, turut berada di tempat kejadian Nhaveen dipukul.

Previin berkata, ketika beliau sedang makan tiga tahun lalu, dua lelaki muncul di sebuah restoran dan mengugut akan membunuhnya berhubung kes itu. Katanya, laporan polis telah dibuat berkaitan perkara itu tahun lalu.

Beliau turut mendedahkan polis tidak mengambil keterangannya selepas dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang dan sembuh daripada kecederaan tulang pipi patah. Beliau turut cedera dalam serangan sama yang meragut nyawa Nhaveen.

Previin menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Abdul Halim dan Amril Johari dalam pemeriksaan utama mereka.

Sebelum prosiding bermula hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Mohd Radzi Abdul Hamid menolak permintaan peguam Naran Singh untuk menangguhkan perbicaraan kerana beliau baharu mengambil alih kes itu dan memerlukan masa untuk merujuk nota.

Naran menggantikan peguam Ranjit Singh Dhillon, yang meninggal dunia 18 Mac lalu.

Radzi turut menolak permintaan pihak pendakwaan untuk mengosongkan baki prosiding hari ini kerana salah seorang pendakwa raya berada di Butterworth. Beliau kemudian mengarahkan pendakwa raya itu hadir di mahkamah pada 11 pagi tadi.

Selepas Previin selesai memberi keterangan, Naran dipelawa untuk memeriksa balasnya. Naran merayu agar mahkamah memberi lebih banyak masa kepadanya kerana beliau baharu dilantik sebagai peguam bela Sabtu lalu.

Radzi membenarkan permintaan itu demi keadilan dan memberitahu semua pihak bahawa kes itu adalah kepentingan awam dan perlu disegerakan. Katanya, semua kes 2018 perlu diselesaikan dalam tahun ini.

Radzi kemudian mengosongkan lima hari perbicaraan pada minggu ini dan menetapkan 12 tarikh baharu. Perbicaraan akan bersambung dari 28 Jun hingga 1 Julai ini, 22 hingga 25 Ogos dan pusingan akhir 19 hingga 23 Sept nanti.

S Gopinaath, 30, J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, dan dua individu lain didakwa membunuh Nhaveen. Dua individu lain terbabit berstatus juvana ketika kejadian itu berlaku.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di taman Jalan Bunga Raya pada 9 Jun 2017, antara 11 malam hingga 12 tengah malam.

Mereka berempat turut didakwa melakukan serangan ke atas Previin berhampiran Karpal Singh Learning Centre di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, antara 11 malam hingga 12 tengah malam mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.