Penduduk dibenar diami flat Kg Sungai Baru hingga 31 Julai ini

Penduduk dibenar diami flat Kg Sungai Baru hingga 31 Julai ini

PKB akan mengeluarkan surat kebenaran kepada bekas pemilik terbabit yang menerima borang K pada 1 April lalu.

Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian KL berkata, pemilik rumah yang tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan diberikan boleh mengemukakan bantahan dalam tempoh 42 hari dari tarikh ‘award’.
PETALING JAYA:
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) membenarkan penduduk terus mendiami flat Kampung Sungai Baru di Kampung Baru, ibu negara, sehingga 31 Julai ini.

Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, PKB akan mengeluarkan surat kebenaran kepada bekas pemilik terbabit yang menerima borang K pada 1 April lalu.

“PKB selaku pemegang hak kepada rumah, tiada halangan dan membenarkan bekas pemilik terus mendiami flat terlibat sehingga 31 Julai ini,” katanya dalam kenyataan.

Awal bulan ini, kira-kira 40 keluarga yang mendiami flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru menerima notis mengosongkan kediaman masing-masing.

Penduduk flat itu kecewa kerana Borang K diterima 1 April lalu menjelang bulan puasa, selain ia tidak menyatakan tarikh akhir untuk mereka mengosongkan rumah.

“Ini yang membimbangkan kami kerana ada penduduk terima maklumat lain, tapi saya terima maklumat lain, bila kita rujuk Jabatan Tanah dan Galian (JTG), mereka kata tak pasti,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Syed pada 9 April lalu.

Hari ini, JKPTG berkata, Borang K dikeluarkan selepas pampasan dibayar kepada pihak berkepentingan dan notis dikeluarkan bersama surat iringan secara pentadbiran bagi menerangkan maksud Borang K pada Mac lalu.

“Pengeluaran surat iringan itu adalah prosedur standard dalam proses pengambilan tanah bagi memaklumkan rumah flat diletakkan kepada badan berkanun berkenaan, PKB.”

Katanya, pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru diwartakan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 21 Jun 2021. Ia membabitkan 72 unit flat, 37 rumah teres dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad.

Menurutnya, pampasan untuk unit flat, dalam lingkungan RM198,000 hingga RM350,000, dimulakan secara berperingkat Februari lalu. Pemilik rumah yang tidak berpuas hati dengan jumlah itu boleh mengemukakan bantahan dalam tempoh 42 hari dari tarikh “award” dikeluarkan.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim memberi jaminan penduduk flat Sungai Baru tidak akan diusir pada bulan puasa dan rundingan antara pemaju bersama penduduk akan diadakan esok bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut itu.

Beliau dipetik Malaysiakini sebagai berkata, tiada notis arahan pemindahan dikeluarkan, sebaliknya hanya surat berhubung pengambilan tanah oleh Pejabat Tanah dan Galian dikeluarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.