Muda tidak cabar dasar Bumi, kata naib presiden parti

Muda tidak cabar dasar Bumi, kata naib presiden parti

Lim Wei Jiet berkata, masalah terletak pada pelaksanaan dasar afirmatif, yang akhirnya memberi manfaat kepada golongan elit.

Lim Wei Jiet berkata Muda masih menyokong tindakan afirmatif untuk golongan memerlukan, dengan matlamat yang lebih besar untuk memanfaatkan seluruh negara dan ekonomi secara keseluruhan.
PETALING JAYA:
Muda tidak menentang dasar tindakan afirmatif berasaskan kaum yang mensasarkan masyarakat Bumiputera, tetapi mahu ia dilaksanakan dengan lebih baik, kata naib presiden parti itu, Lim Wei Jiet.

“(Seperti) Ekuiti Bumiputera, kami tidak mencabar dasar-dasar jenis itu,” kata Lim, apabila ditanya bagaimana Muda mahu meraih sokongan pengundi dewasa yang mungkin lebih cenderung kepada status quo.

Bagaimanapun beliau berkata, Muda mengkritik cara pelaksanaan dasar tindakan afirmatif itu pada masa lalu dan bagaimana ia akhirnya memberi manfaat kepada golongan elit berbanding golongan miskin.

“Di atas kertas terdapat kuota untuk Bumiputera dari aspek pendidikan dan perumahan, tetapi kita semua tahu berlakunya salah guna,” kata Lim.

Beliau mendakwa ahli politik Umno dan Barisan Nasional (BN) memainkan peranan dalam penyalahgunaan itu yang membenarkan golongan kaya menyalahgunakan kuota dengan mengorbankan kumpulan Bumiputera yang lebih miskin.

“Kita perlu menyakinkan pengundi dewasa bahawa penyalahgunaan itu masih berlaku. Anda lihat ramai orang kaya dan mereka yang terdiri daripada kumpulan pendapatan Tertinggi 20 (T20) memasuki UiTM dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM),” kata Lim dalam temu bual dengan FMT.

Beliau menggesa pengundi dewasa supaya bertanyakan soalan sukar dan berfikir secara serius tentang golongan yang mengambil kesempatan ke atas mereka itu.

“Ya, anda mempunyai dasar untuk kuota ini sejak enam dekad yang lalu tetapi anda masih berada di kedudukan yang sama. Anda perlu lihat siapakah yang melaksanakannya selama ini, ia adalah orang sama yang anda undi,” katanya.

Beliau berkata, Muda masih menyokong tindakan afirmatif untuk golongan yang memerlukan, dengan matlamat yang lebih besar untuk memanfaatkan seluruh negara dan ekonomi secara keseluruhan.

“Dengan cara itu semua orang yang memerlukan boleh merasai manfaatnya walaupun kuota masih sama.

“Ini adalah mengenai usaha memperbanyakkan bantuan bagi mereka yang memerlukan, yang sebelum ini mengecil akibat sikap pilih kasih, nepotisme dan penyalahgunaan kuota,” katanya.

Lim berkata, cara untuk memenangi hati dan minda pengundi dewasa adalah dengan bercakap tentang isu yang dekat dengan rakyat tanpa mengira usia seperti kenaikan kos sara hidup, ekonomi yang semakin lemah dan kekurangan peluang pekerjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.