Amira dipilih sebagai presiden Muda

Amira dipilih sebagai presiden Muda

Adun Puteri Wangsa dinamakan memegang jawatan itu walaupun menduduki tangga ketiga dalam pertandingan mendapatkan tempat dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat.

Amira Aisya Abdul Aziz
Amira Aisya Abdul Aziz yang sebelum ini pemangku presiden sudah dijangka mengambil alih jawatan tertinggi itu jika berjaya mendapat tempat dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat.
PETALING JAYA:
Amira Aisya Abdul Aziz dipilih sebagai presiden Muda dalam pemilihan sulung parti hari ini, walaupun menduduki tangga ketiga dalam pertandingan untuk mendapatkan tempat dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP).

Adun Puteri Wangsa itu memperoleh 103 undi di belakang Leben Siddarth yang mendapat undi tertinggi (110), manakala Saiyidah Izzati Nur di tempat kedua (104).

Bawah sistem pemilihan Muda, 25 calon teratas dipilih ke JKEP kemudian akan menentukan sesama mereka jawatan kepimpinan tertinggi parti termasuk presiden.

Amira yang sebelum ini pemangku presiden sudah dijangka mengambil alih jawatan tertinggi itu jika berjaya mendapat tempat dalam JKEP.

Pemilihan sulung Muda yang tertangguh sekian lama diadakan hari ini, dengan kira-kira 125 perwakilan mengundi.

Dalam ucapan ringkas selepas keputusan, Amira mengumumkan barisan kepimpinan baharu parti bagi penggal 2026 hingga 2029.

Beliau berkata, mesyuarat pertama JKEP bersetuju melantik Zaidel Baharuddin sebagai timbalan presiden.

Lima naib presiden turut diumumkan iaitu Leben, Faezrah Wahidah Rizalman, Zarul Afiq, Chew Chuan Yang dan Siva Prakash.

Rasid Abu Bakar pula dilantik sebagai ketua penerangan manakala Ainie Haziqah setiausaha agung.

Amira berkata, kepimpinan baharu itu membawa mandat besar daripada ahli parti.

“Ini merupakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat pertama yang dipilih oleh ahli-ahli Muda dan ia satu mandat yang besar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.