
“’Welcome Back Neighbour! We Missed You! (Selamat datang kembali jiran kami, kami merindui kamu!)” tulis kain rentang stesen minyak berhampiran bandar itu.
Suasananya tetap ceria walaupun terdapat publisiti negatif mengenai rakyat Singapura yang mengisi minyak dengan petrol RON95, di mana ia sepatutnya tidak dibenarkan.
Beberapa pusat beli-belah seperti Lotus’s di Bandar Seri Alam, mempamerkan papan tanda dengan jelas mengatakan mereka menerima mata wang Singapura dengan pertukaran semasa.

Seorang juruwang berkata walaupun premis itu yang sibuk sebelum pembukaannya lagi namun keadaannya kini lebih sibuk.
“Bahaya penularan Covid-19 telah meningkat tetapi sebaliknya, terdapat lebih banyak peluang pekerjaan dan kita mendapat lebih banyak mata wang asing,” katanya.
“Kita mungkin memandang remeh mengenai rakyat Singapura sebelum pandemik, tanpa menyedari bahawa kehadiran mereka amat diperlukan di bandar ini,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, di sebalik kebaikan itu, ada tingkah laku buruk ditunjukkan oleh warga Singapura, yang terkenal dengan sikap memandu laju dan melanggar peraturan lalu lintas sebaik berada di jalan raya Malaysia.
Jumaat lalu, polis Bukit Aman berkata terdapat lebih 100,000 saman dikeluarkan kepada warga Singapura yang masih belum tertunggak.

Pada hujung minggu, seorang pengguna Facebook memuat naik rakaman video sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura yang dipandu secara melulu dan berbahaya di lebuh raya.
Warganet menyuarakan kemarahan dan ada segelintir mempersoalkan mengapa rakyat Singapura semuanya patuh dengan peraturan di republik itu tetapi berubah sebaik berada di atas jalan raya Malaysia.
Manakala “pencuri RON95″ pula meninggalkan nama buruk kepada rakyat Singapura walaupun hanya dilakukan oleh segelintir orang sahaja.
“Kita tidak boleh pantau semua kereta. Kita perlu pekerja yang ramai. Buat masa sekarang, ramai pengusaha yang merancang untuk membuang pekerja apabila gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa bulan depan,” kata seorang pemilik stesen minyak.