
Katanya, adalah dalam bidang kuasa penguatkuasa undang-undang di kedua-dua negara untuk bertindak terhadap sebarang pelanggaran MoU.
“Penguatkuasa undang-undang negara masing-masing boleh bertindak sekiranya berlaku sebarang pelanggaran. Di sini, tanggungjawab pihak berkuasa Malaysia adalah untuk menguatkuasakan undang-undang,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas mengenai dakwaan badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia bahawa ia sukar untuk melaksanakan MoU itu kerana ia tidak terikat di sisi undang-undang.
Terdahulu, CNA melaporkan bahawa NGO Indonesia, Kabar Bumi yang berkempen mengenai hak pekerja migran, mendakwa MoU itu tidak terikat di sisi undang-undang.
“MoU itu tidak terikat di sisi undang-undang, sekiranya majikan tidak patuh kepada perkara itu, majikan atau Malaysia tidak berdepan masalah,” kata ketuanya, Karsiwen.
Hermono berkata MoU itu dirangka dan ditandatangani berdasarkan niat baik kedua-dua pihak untuk mencapai objektif bersama.
“Kedua-dua kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk menguatkuasakan peruntukan MoU selaras dengan undang-undang dan perundangan negara. Jadi, secara tidak langsung, ia juga diikat secara sah.
“Kehadiran pemimpin tertinggi kedua-dua negara semasa pemeteraian itu menunjukkan kedua-dua kerajaan komited secara serius untuk melaksanakan peruntukan yang terkandung dalam MoU itu,” katanya.
Perjanjian yang dimeterai antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Indonesia itu disaksikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia Jokowi Widodo.
Hermono berkata, bagi pihaknya, Indonesia telah menubuhkan kumpulan pemantau untuk menyemak dan bertindak ke atas aduan dan kedutaan akan menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai perjanjian itu di kalangan mereka yang memohon menjadi pembantu rumah di sini.
“MoU ini adalah yang terbaik pernah saya lakukan dengan mana-mana negara. Saya percaya ini adalah penanda aras yang baharu. Namun kini kita perlu pastikan ia akan dilaksanakan dengan betul,” katanya.
CNA turut memetik Pengarah Eksekutif Migrant Care di Jakarta, Wagyu Susilo sebagai berkata bahawa terdapat keperluan untuk mendesak kerajaan menyediakan butiran pakatan itu kepada orang ramai supaya mereka tahu mengenai hak masing-masing.