
Dalam kenyataan bersama, Majlis Presiden PH percaya dengan kelulusan pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi berparlimen mampu dipulihkan.
Sehubungan itu, PH turut meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmen bahawa RUU Anti Lompat Parti akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh sidang khas kedua perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April.
“Kita memahami keperluan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti.
“Justeru, Pakatan Harapan akan menyokong pindaan Perlembagaan pada sidang khas Parlimen 11 April ini,” menurut kenyataan itu.
Semalam, menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Persefahaman (MoU), PH menyampaikan pendirian supaya pihak kerajaan menyegerakan draf RUU Anti Lompat Parti.
“Majlis Presiden PH mengulangi pendirian tegas kami bahawa kelulusan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen merupakan antara syarat utama dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.
“Ketua pembangkang juga telah menyampaikan pendirian Pakatan Harapan ini kepada perdana menteri semalam,” kata kenyataan itu.