Kerajaan jamin subsidi haji diteruskan

Kerajaan jamin subsidi haji diteruskan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad akan berbincang dengan TH mengenai kos haji susulan jangkaan kos tahun ini meningkat lebih RM25,000.

Kos menunaikan haji meningkat 12% tahun ini berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019, menurut TH.
PUTRAJAYA:
Kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan haji diteruskan tahun ini, namun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Idris berkata, beliau akan berbincang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah susulan jangkaan peningkatan kos tahun ini kepada lebih RM25,000 ekoran kenaikan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh Arab Saudi.

“Subsidi akan kita bagi, Insya-Allah. Berapa kita bagi, nanti kita akan maklum. Saya tak boleh umum lagi, benda itu masih embargo,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan.

Semalam, TH dilaporkan berkata kos menunaikan haji meningkat 12% tahun ini berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.

Peningkatan ini mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada 5% kepada 15% dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.

TH mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun lepas walaupun kos untuk menunaikan haji meningkat setiap tahun, katanya.

Idris berkata, selepas perbincangan dengan TH selesai, beliau akan memberi penerangan kepada Jemaah Menteri yang akan memutuskan jumlah subsidi yang akan diberikan kepada jemaah haji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.