Ahli politik tak main peranan, gagal guna BM sebagai alat perpaduan, kata ahli akademik

Ahli politik tak main peranan, gagal guna BM sebagai alat perpaduan, kata ahli akademik

Masalah besar yang ada pada orang Melayu ketika ini adalah mereka tidak bangga dengan bahasa ibunda sendiri dan bermegah dengan bahasa lain.

Ahli akademik Nik Safiah Karim dan Teo Kok Seong menyifatkan Malaysia gagal menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan untuk menyatukan rakyat berbilang kaum.
PETALING JAYA:
Ahli akademik menegur pemimpin politik negara ini yang dilihat kurang memainkan peranan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Malah, mereka berkata Malaysia juga harus mengakui ia gagal menggunakan lingua franca itu sebagai alat perpaduan untuk menyatukan rakyat berbilang kaumnya.

Dalam wacana “Mampukah Bahasa Melayu Tawan ASEAN”, bekas pensyarah Pengajian Melayu Universiti Malaya Nik Safiah Karim, berkata orang politik khususnya dalam kalangan parti Melayu menganggap perjuangan bangsa sudah selesai, menyebabkan mereka kurang menggunakan bahasa Melayu dalam perjuangan mereka.

Tonton video di sini.

“Orang politik pun saya tengok tidak memainkan peranan penting untuk mementingkan kedudukan bahasa kebangsaan. Orang politik dalam kalangan parti Melayu kurang gunakan bahasa Melayu dalam perjuangan mereka.

“Bagi mereka soal bangsa sudah selesai, bagi saya belum lagi selesai,” katanya.

Tegasnya, masalah besar yang ada pada orang Melayu ketika ini adalah mereka tidak bangga dengan bahasa ibunda sendiri dan bermegah dengan bahasa lain.

“Jadi sebelum kita nak sebar luaskan bahasa kita ke luar negara, patut ada usaha kita sendiri untuk mencintai bahasa kita , menghormati bahasa kita agar bahasa kita dihormati oleh orang lain.

“Usaha di peringkat negara perlu ditingkatkan dan paling penting adalah sikap. Saya mendapati, tak ada ada rasa bangga dalam kalangan orang Malaysia apatah lagi dalam kalangan orang Melayu terhadap bahasa ibunda sendiri,” katanya.

Pendapat itu turut disokong Felo Institut Kajian Etnik (KITA) UKM Teo Kok Seong yang menyifatkan rakyat negara ini dilihat kurang jati diri kerana dasar kerajaan yang gagal dalam beberapa aspek pembentukan negara bangsa.

“Kita di Malaysia kurang atau tiada jati diri. Kita harus akui kita telah gagal gunakan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan sedangkan bahasa itu mempunyai kuasa untuk menyatukan ummah,” katanya merujuk kepada kejayaan Indonesia yang berjaya menyatukan kira-kira 1,500 etnik negara itu melalui bahasa Indonesia.

“Jadi kita harus lihat kembali mengapa kita gagal di Malaysia untuk gunakan bahasa Melayu untuk satukan rakyat. Dengan itu kita harus bina semula manusia Malaysia,” katanya.

Katanya, rakyat negara ini tiada nasionalisme linguistik atau tiada perasaan cinta terhadap bahasa ibunda sendiri dan orang Melayu perlu ke depan memainkan peranan utama untuk memartabatkan semula bahasa Melayu.

“Kita juga tiada nasionalisme linguistik terhadap bahasa Melayu, maknanya kita tidak bangga apatah lagi sayang, jauh lagi setia pada bahasa Melayu sedangkan ia bahasa negara kita.

“Kita perlu perubahan sikap terhadap bahasa Melayu, dan ia mesti datang dari orang Melayu itu sendiri,” tegasnya.

Wacana selama satu jam anjuran Sinar Harian itu sejajar dengan hasrat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.