
Kali terakhir beliau bertemu anaknya adalah ketika Prasana berusia kira-kira 18 bulan, iaitu pada 2010 semasa perbicaraan di mahkamah, tujuh bulan selepas Prasana disembunyikan oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah di tengah-tengah perebutan hak penjagaan.
Riduan, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, mengislamkan Prasana tanpa persetujuan Indira pada 2009, iaitu ketika anak itu berusia 11 bulan.
“Prasana berusia 14 tahun hari ini. Saya rasa rupanya akan lebih mirip abangnya atau mungkin mirip saya.
“Dia mesti seorang anak gadis yang cantik sekarang. Kalaulah saya dapat belikannya hadiah,” katanya kepada FMT.
“Saya akan tunggu kamu, Prasana, sehingga nafas saya yang terakhir.”

Wanita berusia 46 tahun itu mengimbau bagaimana beliau berunding dengan sami Hindu yang mencadangkan anak perempuannya itu dinamakan Prasana, yang bermaksud “kebangkitan” dalam bahasa Sanskrit.
Beliau berharap anaknya akan terus mewakili nama yang diberikan itu.
Indira berkata, dia masih kecewa kerana polis gagal mendapatkan semula anak perempuannya itu, walaupun diarahkan oleh mahkamah 13 tahun lepas.
“Pada hari lahirnya ini, mungkin badan Islam atau sesiapa sahaja yang mengenalinya boleh menyampaikan ucapan saya kepadanya.
“Semakin banyak saya bercakap tentang dia kebelakangan ini, semakin bertambah perasaan saya mahu menangis,” katanya.
Ketika FMT menghubunginya, Indira dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan anak sulungnya, Karan Dinish, 24, di sebuah kolej bagi mengikuti pengajian undang-undang. Beliau mempunyai seorang lagi anak perempuan, Tevi Darsiny, 25.
“Karan mahu mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang untuk membela nasib ibunya dan memerangi ketidakadilan,” katanya.
Mahkamah Persekutuan pada 2016 mengarahkan ketua polis negara melaksanakan waran komital terhadap Riduan selepas mendapati dia bersalah menghina mahkamah kerana enggan menyerahkan Prasana.
Baru-baru ini, Parlimen dimaklumkan Riduan membeli dua kereta tujuh tahun lepas. Ini mendorong seorang Ahli Parlimen pembangkang bertanya tentang komitmen polis untuk mencari Prasana dan Riduan.