
Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 34 dan 38 tahun ditahan di Bandar Sungai Long kira-kira 12.30 tengah hari semalam hasil pemantauan dan pemeriksaan.
Beliau berkata, dalam kejadian 2.14 pagi itu, tiga anggota polis yang menjalankan tugas ronda cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Polis kemudian cuba menghentikan kereta itu namun suspek memecut dan memandu secara melulu yang menyebabkan polis mengejar suspek sejauh 3km.
“Ketika dikejar, suspek beberapa kali cuba menghimpit polis yang menaiki motosikal dan apabila tiba jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak membuat pusingan U serta cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Tindakan agresif suspek telah menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta tersebut namun suspek berjaya meloloskan diri.
Zaid berkata, selain penahanan ketiga-tiga individu itu, polis turut merampas sebuah Perodua Myvi yang mempunyai kesan tembakan disyaki terlibat dalam kes itu.
Beliau berkata, semuanya akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam bertugas dan Seksyen 307 kanun sama kerana cubaan bunuh selain polis sedang mengesan beberapa individu lain disyaki turut terlibat kes itu.
“Individu yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03 8911 4222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.