
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, beliau juga percaya Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menyokong RUU itu, tetapi menghadapi bantahan daripada pihak dalam kerajaan.
“Perdana menteri mempunyai komitmen untuk melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH).
“Saya rasa terdapat perasaan umum untuk ‘mendesaknya’, tetapi ia dilengahkan oleh bantahan, khasnya pihak dalam kerajaan.”
Katanya, beliau juga boleh memahami kekecewaan dirasai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar terhadap perkembangan terkini dalam satu daripada reformasi utama yang dipersetujui di bawah MoU Putrajaya dengan PH itu.
Di bawah MoU itu, RUU Anti Lompat Parti sepatutnya dibentangkan dalam sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini, yang berakhir 24 Mac lalu.
Semalam, Wan Junaidi mengesahkan RUU ditunggu-tunggu itu, yang dijadual dibentangkan pada 11 April ini, ditangguhkan sekali lagi kerana Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangannya.
Dilaporkan kerajaan mahu menyelesaikan beberapa perkara penting, termasuk definisi “lompat parti” dan meminda Perlembagaan sebelum membentangkan RUU itu.
Wan Junaidi hari ini berkata, sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin depan tetap diteruskan dan dilanjutkan sehingga Selasa dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti itu kelak.
Santiago mempersoalkan jika kerajaan mampu meyakinkan pihak yang menentang RUU itu.
“Mungkin mereka boleh mengatasinya tanpa mengambil kira sikap acuh tidak acuh pihak tertentu. Mereka yang menentang RUU itu meletakkan seluruh negara dalam keadaan sukar kerana saya fikir terdapat tanggapan ini adalah RUU baik. Oleh itu, ia patut berlaku (diluluskan).”
Beliau turut mencabar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyatakan pendiriannya berhubung perkara itu.
Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menafikan laporan anggota Kabinet daripada parti itu menentang peruntukan dalam draf RUU Anti Lompat Parti.