
Rosli Azad Khan, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri pengangkutan berkata, beliau tidak nampak sebarang sebab untuk membenarkan ALR melanjutkan kutipan tol apabila konsesi terbabit akan tamat tempoh tidak lama lagi.
Beliau memberitahu FMT bahawa kerajaan perlu mendedahkan kandungan perjanjian konsesi baharu itu, selain menambah, justifikasi tiada kenaikan kadar tol tidak cukup kukuh.
Tonton video di sini.
Rosli mempersoalkan keputusan kerajaan membenarkan ALR membeli kesemua empat syarikat konsesi tersebut dengan menegaskan bahawa proses tender terbuka adalah kaedah pilihan.

“Selain itu bagaimana kita tahu atau memutuskan bahawa ALR adalah syarikat tidak berasaskan keuntungan? Siapa pemilik ALR? Satu lagi kroni politik?” soalnya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof bahawa ALR menawarkan untuk membeli syarikat konsesi untuk lebuh raya LDP, SMART, SPRINT dan Kesas. Kementerian mengesahkan bahawa empat syarikat tersebut telah bersetuju dengan tawaran ini.
Fadillah berkata, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh konsesi empat lebuh raya itu dengan kadar tol sedia ada dikekalkan sehingga tamat tempoh konsesi masing-masing.
Namun Rosli mempersoalkan keperluan lanjutan itu apabila banyak konsesi tol itu dijangka tamat dalam masa terdekat. Ini tidak adil bagi pemandu yang akan mendapat manfaat daripada empat lebuh raya bebas tol tidak lama lagi, katanya.
Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai pengambilalihan lebuh raya itu sepatutnya adalah bagi baki tempoh konsesi asal, tanpa sebarang lanjutan.
“Apabila konsesi tamat, pemegang konsesi perlu menyerahkannya semula kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) secara percuma, dan kutipan tol akan dimansuhkan. Pengguna kenderaan kemudiannya boleh menikmati lebuh raya percuma manakala LLM akan mengurus dan menyelenggara lebuh raya tersebut.
“Inilah sebabnya tidak adil untuk melanjutkan tempoh konsesi dan terus mengenakan bayaran tol sedangkan sangat jelas bahawa lebuh raya harus diserahkan semula kepada kerajaan dan penggunanya tidak akan dikenakan sebarang caj tol lagi. Ini jelas dinyatakan dalam dasar kerajaan dan perjanjian konsesi,” katanya.
Pada Isnin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, perjanjian berhubung empat lebuh raya itu akan menjimatkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion pampasan di pihak kerajaan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol sepanjang tempoh konsesi.