Terima arahan sebab Bung lulus lantikan saya, kata bekas CFO Felcra

Terima arahan sebab Bung lulus lantikan saya, kata bekas CFO Felcra

Bekas ketua pegawai kewangan Felcra Azmy Abu Samah berkata ada dua kem dalam syarikat itu diketuai Bung Moktar Radin dan CEO syarikat.

Bung Moktar Radin didakwa menerima rasuah berhubung pelaburan Felcra dalam dana unit amanah, manakala isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, dituduh bersubahat dengannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) Felcra mendapat arahan daripada pengerusi syarikat, iaitu Bung Moktar Radin, berhubung pelaburan dalam unit amanah memandangkan beliau yang melantik dirinya ke jawatan itu, Mahkamah Sesyen diberitahu hari ini.

Azmy Abu Samah ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah Bung dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad berkata, ketika itu beliau juga berada dalam tempoh percubaan.

Akauntan pengurusan bertauliah berkenaan sebelum itu bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan menyertai Felcra pada Ogos 2014, namun meninggalkan syarikat itu lebih setahun kemudian.

Azmy, yang menjadi saksi pendakwaan ke-26 juga berkata, beliau tidak memaklumkan pelaburan dalam unit amanah Public Mutual itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Felcra (CEO) Ramlee Abu Bakar.

“Saya tidak melaporkan kepada CEO kerana cadangan pelaburan datang daripada pengerusi (Bung),” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwaraya Sophian Zakaria.

Katanya, beliau tidak memahami budaya kerja di Felcra kerana terdapat “dua kem”.

Minggu lalu, Azmy mendedahkan bahawa ketua pegawai pelaburan ketika itu, iaitu Dzulkaranain Md Eusope, yang bertugas di Felcra lebih lama daripadanya, memberitahunya terdapat dua kem diketuai Bung dan Ramlee.

Sophian: Mengapa anda mengikut arahan Bung dan melangkaui CEO?

Azmy: Pengerusi (Bung) yang meluluskan jawatan saya sebagai CFO.

Sophian: Apa yang akan berlaku sekiranya anda tidak mengikuti arahan pengerusi?

Azmy: Ketika itu, saya tidak pernah berfikir perkara itu.

Azmy berkata, dalam mesyuarat lewat malam yang diadakan di sebuah hotel di sini pada 4 Mei 2015, Bung memintanya menyegerakan resolusi lembaga untuk melabur RM150 juta, bukannya RM50 juta.

Beliau berkata, minggu terdahulu sebelum itu, Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) yang merupakan pemegang saham tunggal Felcra, sudah meluluskan RM150 juta selepas Bung membentangkan tiga cadangan.

Katanya, ketika tempoh perkhidmatannya di Felcra, beliau tidak mempunyai hubungan professional atau kasual dengan Zizie.

“Saya bertemu dengannya dua atau tiga kali tapi tidak pernah bercakap dengan dia,” katanya.

Azmy juga berkata, beliau tidak mengetahui Zizie mencampuri urusan pelaburan unit amanah ketika itu.

Bung, 64, yang juga timbalan ketua menteri Sabah, berdepan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur dalam dana unit amanah.

Beliau yang juga pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah melalui Zizie di Public Bank Cawangan Taman Melawati, di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada Jun 12 2015.

Bung juga mengaku tidak bersalah menerima RM335,500 wang tunai sebagai rasuah daripada konsultan unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui Zizie, untuk tujuan dan di lokasi sama, pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam perkara, di lokasi, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Rozina Ayob bersambung pada Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.