Henti wajar langkah ganti orang tempatan dengan pekerja asing, kata NGO

Henti wajar langkah ganti orang tempatan dengan pekerja asing, kata NGO

Gabungan Reformasi Undang-undang Buruh berkata, jika ramai pekerja tempatan berhenti dalam tempoh enam hingga setahun, maka ada sesuatu tidak kena dengan syarikat itu.

Gabungan Reformasi Undang-undang Buruh berkata, pekerja mungkin berhenti kerja atas pelbagai alasan, termasuk waktu kerja terlalu panjang, budaya kerja teruk dan proses pengeluaran tidak sihat. (Gambar Proton)
PETALING JAYA:
Sebuah NGO pembaharuan buruh membidas industri automotif yang mewajarkan desakan untuk mengambil pekerja asing dengan berkata, orang tempatan cenderung berhenti dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas diambil bekerja.

Pengerusi Gabungan Reformasi Undang-undang Buruh (LLRC), N Gopal Kishnam berkata, majikan perlu mencari punca pekerja berhenti tidak lama selepas diambil bekerja berbanding mengambil jalan mudah dengan mengupah pekerja asing.

Beliau menggesa industri automotif berhenti menggunakan alasan tidak wajar untuk menggantikan pekerja tempatan dengan tenaga kerja asing, sebaliknya mereka perlu mengambil tindakan proaktif untuk menangani punca utama pekerja tempatan tidak bertahan lama.

“Ia adalah ‘common sense’ jika ramai pekerja tidak boleh bertahan lama dengan sesuatu pekerjaan selepas enam hingga 12 bulan, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan syarikat itu.

“Ia mungkin disebabkan pakej gaji atau ganjaran yang kurang menarik, waktu kerja terlalu panjang dan tidak dibayar, budaya kerja teruk atau proses pengeluaran tidak selamat dan tidak sihat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta kerajaan dan kumpulan majikan tidak menjadikan pekerja sebagai kambing hitam kerana masalah mungkin terletak pada majikan.

“Fokus secara saintifik dalam mengkaji masalah kekurangan buruh dalam sektor ini dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian secara damai untuk menangani kebimbangan pekerja tempatan.”

LLRC turut menggesa penubuhan majlis sektor tiga pihak dalam semua sektor perindustrian bagi memastikan semua pihak berkepentingan boleh mengadakan dialog secara tetap bagi menangani masalah yang timbul.

“Kerajaan Filipina dan Singapura telah menubuhkan banyak majlis sektor tiga pihak untuk menggalakkan kedamaian dalam industri dan memperbaiki keadaan kerja.

“Ia adalah amalan baik yang patut dilaksanakan secepat mungkin untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan produktiviti.”

Sebelum ini, Presiden Persatuan Vendor Proton, Wan Mohamed Wan Embong berkata, industri automotif mungkin musnah dengan kehilangan lebih 500,000 pekerjaan dan menghapuskan sehingga 4.5% keluaran dalam negara kasar (KDNK), jika masalah tenaga kerja tidak ditangani segera.

Beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pengambilan pekerja asing dan menurunkan kos rekalibrasi untuk kira-kira tiga hingga liga juta pekerja asing haram dalam negara ini.

Katanya, industri itu meletakkan banyak usaha untuk mengambil pekerja tempatan, tetapi kebanyakan mereka berhenti dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas diambil bekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.