
Hartini Zainudin daripada Voice of the Children berkata, kebanyakan kanak-kanak tidak tahu melindungi diri mereka daripada gangguan seksual malah gagal mengenal pasti gangguan itu di tempat awam seperti di dalam bas sekolah.
Beliau berkata, tiada dasar sewajarnya untuk melindungi kanak-kanak daripada diganggu secara seksual di dalam bas sekolah dan van.
Gangguan seksual wujud dalam pelbagai bentuk, tambahnya.
“Gangguan seksual berkait dengan isu tingkah laku. Itulah sebabnya ia mesti dikenal pasti dengan tepat,” katanya kepada FMT.
“Pemandu bas sekolah, pelajar, ibu bapa dan kakitangan di dalam dan di luar sekolah juga mesti faham apa itu gangguan seksual.
“Ada bentuk fizikal dan lisan. Gangguan lisan adalah lebih lazim namun tetap berbahaya. Gangguan lisan juga lebih sukar dikenal pasti kerana ia wujud dalam pelbagai bentuk seperti panggilan nama yang bersifat seksual, isyarat lucah dan jenaka mengandungi sindiran seksual.”
Minggu lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Seremban didakwa dicabul oleh pemandu van sekolah ketika dihantar pulang.
Pemandu itu dikatakan menyentuh pipi kanak-kanak itu sambil memujinya dan menggosok tangan dan kaki kanannya. Dia juga didakwa meminta kanak-kanak itu berhubung dengannya menerusi aplikasi WhatsApp.
Lelaki itu ditahan polis dan didakwa mengaku melakukan kesalahan itu.
Dalam laporan polisnya, ibu kanak-kanak itu berkata, anaknya mendedahkan kejadian itu kepadanya sambil menangis. Bapanya menasihatkan ibu bapa lain supaya menerapkan kesedaran tentang bahaya gangguan seksual dalam diri anak-anak mereka.
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, ramai kanak-kanak lazimnya menganggap gangguan seksual sebagai tidak berbahaya.
Inilah sebabnya katanya, ibu bapa perlu mengekalkan komunikasi dengan anak-anak supaya mereka cukup selesa untuk bersuara jika berdepan bahaya.
Beliau bersetuju bahawa pendidikan mengenai perkara itu perlu dan menambah bahawa guru terbaik adalah ibu bapa, sekali gus memuji bapa kanak-kanak dalam kejadian di Seremban itu.
“Apa yang dilakukan oleh bapa tersebut patut dicontohi. Banyak perkara boleh diajar di sekolah, tetapi akhirnya pertimbangan dan keputusan baik yang diajar oleh ibu bapa akan menyelamatkan anak-anak daripada bahaya,” katanya.
Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Noor Aziah Mohd Awal bersetuju dengan berkata, pendidikan mengenai gangguan seksual perlu diberikan di sekolah dan di rumah.
“Ibu bapa mesti dilengkapi pengetahuan asas tentang gangguan seksual untuk memberi amaran kepada kanak-kanak,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan agar memastikan lebih ramai guru dilatih mengenai perkara itu dan pemandu bas dan van diperiksa dengan teliti bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin.