Tentera maut dipercayai ditikam isteri

Tentera maut dipercayai ditikam isteri

Sebelum kejadian isteri mangsa dikatakan menggertak suaminya menggunakan pisau pemotong sayur kerana bergaduh.

Anggota tentera itu maut selepas kehilangan banyak darah kesan daripada tikaman, kata Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Sudirman Kram.
PETALING JAYA:
Seorang anggota tentera maut akibat ditikam isterinya menggunakan pisau pemotong sayur, dalam kejadian di kediaman mereka di Kem Penrissen, Kota Samarahan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Sudirman Kram berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara mangsa dan isterinya, iaitu sekitar 10.30 malam.

Katanya, suspek mulanya menggertak mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sebelum dipercayai tertikam paha kiri mangsa, sekali gus menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

“Mangsa kehilangan banyak darah dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di HUS,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Mayat mangsa berusia 28 tahun itu kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala, suspek yang berusia 24 tahun ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

“Turut dirampas sebilah pisau pemotong sayur dan pakaian suspek semasa kejadian,” kata Sudirman.

Pasangan terbabit difahamkan mempunyai seorang anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.