
Dalam soalan bertulis kepada peguam Lim, Azri turut menafikan beliau mempunyai akaun Facebook bawah nama Papa Azri.
Beliau juga menafikan memfitnah Lim dengan menyiarkan kenyataan itu dalam akaun Facebook pada 14 Mac 2020.
Jawapan kepada tiga soalan itu terkandung dalam interogatori bertarikh 3 Mac seperti diperintahkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz pada 15 Feb.
Interogatori adalah soalan bertulis yang dikemukakan oleh satu pihak dalam saman dengan pihak satu lagi perlu memberi jawapan bertulis secara bersumpah.
Peguam K Simon Murali, yang mewakili keluarga Lim berkata, pengurusan kes diadakan dalam talian hari ini di hadapan timbalan pendaftar untuk mengemas kini mahkamah mengenai jawapan oleh defendan bagi interogatori.
Katanya, satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 13 Dis.
Azri diwakili Norfazilah Jaafar.
Keluarga Lim mendakwa Azri menyebarkan tuduhan palsu bahawa Clint ditahan ketika cuba menyeludup wang tunai RM2 juta ke Singapura tanpa mengisytiharkannya.
Insiden itu berpunca daripada laporan sebuah akhbar Cina pada Mac 2020. Akhbar itu kemudian menarik balik laporan tersebut dan menerbitkan permohonan maaf.
Keluarga Lim sebelum ini mengemukakan soalan bertulis kepada Azri, yang dalam pembelaannya mendakwa dia bukan Papagomo. Bagaimanapun, dia mengelak tiga soalan pertama tetapi menjawab lima soalan berikutnya.
Ini menyebabkan Lim mendapat perintah mahkamah untuk memaksa Azri menjawab “ya” atau “tidak” kepada tiga soalan itu.
Murali berkata, soalan itu dikemukakan kerana defendan bergantung kepada pembelaan justifikasi dan komen berpatutan dalam menjawab saman itu.
Dalam dokumen mahkamah, Azri menafikan pernyataan tuntutan plaintif yang merujuknya sebagai Papagomo dan penerbitan artikel berunsur fitnah itu dalam akaun Facebook.