Duit raya RM500 untuk penjawat awam, pesara RM250

Duit raya RM500 untuk penjawat awam, pesara RM250

Bantuan khas itu akan diterima bersama pembayaran gaji bulan ini iaitu pada 25 Apr 2022.

Bantuan khas itu melibatkan peruntukan RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam serta pesara.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan “Contract Of Service”, “Contract For Service”, Pegawai Sambilan Harian dan lantikan bawah MySTEP.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, pesara kerajaan pula akan menerima RM250.

Katanya, pembayaran akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan ini, iaitu pada 25 April.

Tonton video di sini.

“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, pemberian itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

“Pengumuman pemberian bantuan ini pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.