‘Isu teknikal’ di udara, pesawat menuju Tawau patah balik ke KLIA

‘Isu teknikal’ di udara, pesawat menuju Tawau patah balik ke KLIA

Seorang penumpang sebelum ini menceritakan di media sosial bahawa pesawat tersebut 'menjunam' dari ketinggian 31,000 kaki ke 24,000 kaki semasa penerbangan.

Malaysia Airlines berkata, juruterbang memutuskan untuk menerbangkan pesawat itu kembali ke Kuala Lumpur demi keselamatan penumpang.
PETALING JAYA:
Malaysia Airlines mengesahkan bahawa penerbangan MH2664 ke Tawau semalam berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menghadapi “isu teknikal”.

Syarikat penerbangan nasional itu berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, juruterbang membuat keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur demi keselamatan penumpang.

“Penerbangan Malaysia Airlines MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 3 April 2022 melakukan penerbangan pusing balik disebabkan masalah teknikal pada pesawat tersebut, ditambah dengan cuaca buruk semasa dalam perjalanan,” katanya dalam kenyataan.

Pesawat tersebut mendarat dengan selamat di Kuala Lumpur pada 5.03 petang, tambahnya.

Ini susulan catatan seorang penumpang di media sosial berhubung kejadian yang berlaku ketika penerbangan 2.30 petang itu.

Halimah Nasoha berkata, setengah jam selepas pesawat B737-800 itu berlepas, ia “menjunam” dari ketinggian 31,000 kaki ke 24,000 kaki, menurut semakannya menerusi aplikasi Flight Radar, dalam masa beberapa saat.

Katanya, beliau “terlambung” daripada tempat duduknya kerana tidak memakai tali pinggang keselamatan, memandangkan isyarat pemakaian tali pinggang tidak menyala ketika itu.

“Dalam 10 minit, pesawat dalam keadaan tidak stabil dan selepas naik semula, ia menjunam lagi, tetapi tidak seteruk kali pertama,” katanya di Facebook.

Penumpang lain menjerit-jerit, malah ada yang menangis, risau akan keselamatan diri mereka, tambahnya

Halimah berkata, pesawat itu kemudian membuat pusingan U dan berlegar di ruang udara Melaka beberapa kali sebelum berpatah balik ke KLIA di mana beliau menukar penerbangan.

Beliau selamat tiba di Tawau pada 9.50 malam, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.