Pemakaian pelitup muka kekal wajib, kata KJ

Pemakaian pelitup muka kekal wajib, kata KJ

Menteri kesihatan berkata, Malaysia mengambil pendirian berbeza berhubung pemakaian pelitup muka berbanding EU, UK dan AS.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pelitup muka boleh melindungi rakyat daripada risiko jangkitan Covid-19.
PETALING JAYA:
Pemakaian pelitup muka masih wajib walaupun negara dalam fasa peralihan ke endemik, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka akan diteruskan, terutama di kawasan tertutup kerana pakar berpendapat ia adalah satu daripada cara terbaik untuk melindungi diri daripada jangkitan virus.

Bercakap dalam sidang media di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, hari ini, Khairy berkata, pendirian Malaysia berbeza dengan negara lain seperti Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), yang tidak lagi menguatkuasakan pemakaian pelitup muka.

Tonton video di sini.

Ditanya bila beliau menjangkakan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, Khairy secara berjenaka, berkata: “Kita kena tanya virus.”

Beliau turut menggesa umat Islam yang mengerjakan solat tarawih di masjid supaya memakai pelitup muka dengan baik.

Khairy juga menggalakkan pemilik premis dan majikan menaik taraf sistem pengudaraan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 secara signifikan.

Beliau melawat hospital di Perak bagi melihat sendiri kemudahan perubatannya. Selain lawatan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Khairy turut ke Hospital Batu Gajah.

Malaysia mula memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.