
Ketua Pemuda PH negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan supaya individu bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat memulakan prosiding untuk menyiasat penjualan tanah ini dan mendedahkan siapa sebenarnya dalang dalam isu ini,” katanya dipetik Utusan Malaysia selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh hari ini.
Hairul yang juga ketua Pemuda PKR Perak berkata, laporan itu antara lain menggesa pihak berkuasa segera memulakan siasatan dan satu lagi laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.
“Dakwaan tanah itu telah dijual seperti yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini menjadi persoalan dan perhatian umum, sebab itu kami buat laporan supaya pihak berkuasa boleh ambil tindakan.
“Saya percaya, polis dan SPRM mempunyai tanggungjawab serta kuasa untuk melaksanakan siasatan ke atas isu penjualan tanah ini.”
Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis berhubung penjualan tanah itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
Isu penjualan tanah lapangan terbang itu timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah terbabit sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Saarani memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan di bawah pentadbiran PH terdahulu kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.