Penyakit tak batal hak untuk mengundi, kata peguam

Penyakit tak batal hak untuk mengundi, kata peguam

Perlembagaan hanya menyediakan dua alasan untuk membatalkan kelayakan seseorang daripada menjadi pengundi, dan ia tidak termasuk dijangkiti penyakit, kata A Surendra Ananth.

Pengundi yang dijangkiti Covid-19 dilarang membuang undi pada PRN Johor pada Mac.
PETALING JAYA:
Pengundi yang dihalang membuang undi kerana dijangkiti Covid-19 mempunyai kes yang kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan, menurut seorang peguam perlembagaan.

A Surendra Ananth berkata, perlembagaan hanya menyediakan dua alasan untuk membatalkan kelayakan seseorang daripada menjadi pengundi, iaitu dia ditahan kerana tidak siuman, atau berada di penjara; atau tertakluk kepada hukuman mati atau tempoh penjara lebih setahun bagi kesalahan di mana-mana bahagian Komanwel.

Katanya, dijangkiti penyakit bukanlah asas yang dibenarkan untuk menafikan hak seseorang untuk mengundi.

Surendra berkata, kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat peraturan mengenai pilihan raya tidak bertujuan untuk melucutkan hak perlembagaan sesiapa untuk mengundi.

“SPR sepatutnya menyediakan peraturan yang membolehkan pesakit Covid-19 mengundi dengan cara yang selamat,” katanya, sebagai respons kepada kenyataan kumpulan reformasi Bersih bahawa mereka akan membantu pengundi yang dihalang membuang undi untuk menyaman Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR.

Pengundi yang dijangkiti Covid-19 dilarang membuang undi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Surendra, kedudukan Bersih dalam saman itu, sebagai masyarakat sivil, mungkin akan dipertikaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.