
Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran berkata, penafian KPN Acryl Sani Abdullah Sani kini meletakkan tanggungjawab ke atas Hamid untuk memberikan bukti yang relevan bagi menyokong dakwaannya atau memohon maaf kerana mengelirukan rakyat.
“Kenyataan KPN membimbangkan. Hakikat bahawa beliau dan pendahulunya (Hamid) secara terbuka bercanggah antara satu sama lain adalah perkara yang serius.
“Perkara ini tidak boleh didiamkan. Ia mesti disiasat dengan betul. Sebab itu Hamid tidak boleh berdiam diri selepas penafian KPN.
“Isu ini telah menjadi isu kepentingan awam dan rakyat Malaysia perlu tahu sama ada dakwaan itu benar,” katanya dalam kenyataan.
Pada 1 April, Acryl Sani menafikan kewujudan kartel dalam pasukan polis atau sebarang campur tangan luar dalam menentukan kenaikan pangkat dalam pasukan.
Beliau menyangkal dakwaan Hamid bahawa kartel “polis kotor” yang bekerjasama dengan penjenayah berusaha untuk menjatuhkannya sebagai KPN.
Kula berkata, beliau telah membuat laporan polis tahun lepas mengenai perkara ini susulan kenyataan Hamid, namun beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang hasil siasatan.
“Di sinilah masalahnya bermula – polis menyiasat diri mereka sendiri. Ini menunjukkan keperluan yang jelas bagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang telah lama dicadangkan.
“Ini boleh memainkan peranan penting dalam menangani kebimbangan ini dan meminta polis bertanggungjawab atas sebarang salah laku,” katanya.
Kula berkata, jumlah kematian dalam tahanan yang semakin meningkat dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini turut membimbangkan.
“Disebabkan ini, saya cadangkan supaya satu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang dibuat oleh bekas KPN itu.
“Ia akan membawa banyak manfaat bagi memulihkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis,” katanya.