Tiada parti di Sabah ada kelebihan pada PRU15, kata penganalisis

Tiada parti di Sabah ada kelebihan pada PRU15, kata penganalisis

Walaupun parti pembangkang berdepan konflik dalaman, ini tidak bermakna GRS-BN secara automatik akan mendapat keuntungan daripadanya, menurut penganalisis.

Seorang ahli akademik di UMS berpendapat, mana-mana parti di Sabah boleh mengadakan pakatan baharu pada PRU15 sekalipun merentas jurang ideologi. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Tiada parti dalam kerajaan negeri Sabah mahupun blok pembangkang mempunyai kelebihan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis politik.

Walaupun Barisan Nasional (BN) mempunyai momentum di Semenanjung, kata mereka, parti dari kedua-dua belah pihak yang berpecah di Sabah dibelenggu isu dalaman mereka sendiri.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Warisan dan Pakatan Harapan (PH) masih bertelagah dan nampaknya tidak dapat berdamai sebelum PRU15.

“Memorandum persefahaman (MoU) PH dengan kerajaan persekutuan, yang ditentang oleh Warisan, mungkin dapat bertahan sehingga sebelum PRU15,” katanya kepada FMT.

Oh Ei Sun.

“PH juga kurang teruja mengenai Warisan melebarkan sayapnya (ke Semenanjung).”

Oh berkata, walaupun parti pembangkang berdepan konflik dalaman, ini tidak bermakna Gabungan Rakyat Sabah-BN secara automatik akan mendapat keuntungan daripadanya.

“Juga masih tidak pasti sama ada BN dan GRS akan bertembung atau bekerjasama pada PRU15,” katanya.

Lee Kuok Tiung.

Pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiung percaya Umno Sabah mahu terus bekerjasama dengan GRS, tetapi terperangkap dalam dilema kerana kepimpinan pusatnya memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu di peringkat persekutuan.

Umno dan Bersatu berjaya bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020 tetapi bertembung pada PRN Melaka dan Johor baru-baru ini dengan Umno muncul sebagai pemenang.

Romzi Ationg, seorang lagi ahli akademik di UMS berkata, di negara di mana politik sentiasa berubah-ubah, mana-mana parti di Sabah boleh mengadakan pakatan baharu pada PRU15, sekalipun merentas jurang ideologi.

“Saya tak rasa akan ada pembangkang yang jelas pada PRU15 di Sabah. Nampaknya seperti mana-mana parti mungkin berminat untuk bekerjasama dengan parti lain demi kelangsungannya.

Romzi Ationg.

“Ada kemungkinan parti dalam kerajaan negeri bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang. Boleh jadi Warisan dengan GRS atau BN, malah PH dengan GRS,” katanya kepada FMT.

Lee berkata, jika pembangkang kekal berpecah pada PRU15, Warisan mempunyai peluang lebih besar untuk memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti pembangkang lain.

Beliau berkata, sebab utamanya adalah Warisan merupakan parti tempatan manakala presidennya Shafie Apdal dianggap sebagai tokoh politik yang mempunyai penyokong tegar.

“Apatah lagi apabila politik di Sabah masih berjalan mengikut garis etnik,” katanya.

Warisan tukar ganti kerusi dengan PH?

Lee berkata Warisan, yang telah melebarkan sayapnya ke Semenanjung, mungkin akan cuba meyakinkan PH supaya tidak bertanding di Sabah pada PRU15 dengan menawarkan diri untuk tidak bertanding di Semenanjung.

“Mereka tahu bahawa jika mereka bersatu seperti pada PRU14, peluang mereka untuk menewaskan BN sekali lagi sangat cerah,” katanya.

Bagaimanapun Oh meragui sama ada PH akan menerima tawaran itu.

“Dapat dilihat dalam PRN Johor baru-baru ini bahawa Warisan masih belum berjaya menembusi Semenanjung, justeru ia tidak menjadi kebimbangan kepada PH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.