Penantian kini berakhir, rakyat Indonesia bersatu semula dengan tunang di Malaysia

Penantian kini berakhir, rakyat Indonesia bersatu semula dengan tunang di Malaysia

Pembukaan semula sempadan negara hari ini menyatukan semula ahli keluarga yang terpisah selepas sekatan perjalanan dikenakan akibat pandemik Covid-19.

Rakyat Indonesia Amartha Simamora dan tunangnya rakyat Malaysia, Jasrol tidak sabar untuk meneruskan kehidupan dan melangsungkan perkahwinan mereka.
PETALING JAYA:
Bagi rakyat Indonesia, Amartha Simamora dan tunangnya rakyat Malaysia, Jasrol, pembukaan semula sempadan adalah “impian menjadi kenyataan”.

“Saya gementar kerana berasa ia masih seperti mimpi. Saya tidak percaya yang akhirnya dapat bertemu tunang selepas dua tahun terpisah,” kata Amartha yang bekerja di sektor runcit.

Wanita berusia 33 tahun itu berkata, selepas lima tahun menjalin hubungan, mereka merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada 2021, namun terpaksa menangguhkannya disebabkan sekatan perjalanan.

Amartha berkata, dia telah memohon untuk masuk ke Malaysia beberapa kali menerusi MyTravelPass, namun ditolak atas alasan dokumennya “tidak lengkap”.

Dengan pembukaan semula sempadan, penantian itu kini berakhir dan pasangan itu boleh meneruskan rancangan mereka untuk berkahwin.

Rakyat Malaysia dan bukan warga Malaysia juga menanti dengan penuh semangat sehingga sempadan negara dibuka hari ini untuk bersatu semula dengan orang tersayang.

Pintu sempadan ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.

Bagi doktor gigi rakyat Malaysia yang menetap di Hong Kong, Fong, pembukaan semula sempadan membolehkannya pulang untuk bertemu keluarga “tanpa perlu mengambil cuti kerja yang panjang”.

“Saya gembira negara membuka semula sempadannya dan individu yang telah vaksin lengkap tidak perlu lagi menjalani kuarantin,” katanya kepada FMT.

Fong berkata, dia juga menunggu Hong Kong melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bermula hari ini kerana jika tidak dia perlu menjalani kuarantin selama 14 hari berbanding tujuh hari sebaik pulang dari Malaysia.

Ditanya mengenai rancangannya ketika pulang ke sini, katanya, dia hanya ingin meluangkan masa bersama keluarga selain menambah bahawa sudah memadai dengan hanya keluar makan malam, mengadakan perjumpaan dan bersiar-siar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.