Isteri Guan Eng tak dibenar masuk mahkamah ikuti kes rasuah, kata peguam

Isteri Guan Eng tak dibenar masuk mahkamah ikuti kes rasuah, kata peguam

Hakim berkata tertakluk kepada keputusan jawatankuasa yang menyelia SOP Covid-19 bagi kompleks mahkamah.

Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew tiba di mahkamah untuk pendengaran sebelum ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam bela dalam perbicaraan rasuah terowong bawah laut melibatkan Lim Guan Eng mengadu kepada hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa isteri Lim dihalang daripada memasuki bilik mahkamah untuk mengikuti prosiding.

Gobind Singh Deo memberitahu Azura bahawa seorang anggota polis yang bertugas tidak membenarkan Betty Chew masuk walaupun beliau hadir pada semua pendengaran kes sebelum ini.

“Anggota polis itu enggan membenarkannya masuk walaupun saya faham dia hanya menjalankan tugas,” kata Gobind ketika pendengaran bermula hari ini.

Katanya, beberapa penyokong Lim juga tidak dibenarkan masuk.

“Sebelum ini, tiada masalah untuk mereka berada di mahkamah bagi mengikuti kes ini,” kata Gobind.

Azura berkata, ia tertakluk kepada keputusan jawatankuasa yang menyelia prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi kompleks mahkamah.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai situasi itu. Bagaimanapun, seseorang boleh masuk ke bilik mahkamah selagi mereka mematuhi SOP,” katanya.

Katanya, senarai mereka yang ingin hadir secara fizikal mesti dihantar sekurang-kurangnya dua hari sebelum prosiding.

“Lain kali, berikan kami senarai dan kami akan cuba untuk memenuhinya” katanya.

Gobind berkata, senarai itu telah disediakan sebelum pendengaran.

Tiga saksi pendakwaan, iaitu M Maheswari, S Vijayalakshmi dan Ng Wee Kok, yang merujuk kepada nota mesyuarat Exco Pulau Pinang berhubung projek terowong dasar laut mengemukakan kira-kira 30 barang kes kerana mereka menyediakan dokumen itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin memaklumkan kepada Azura bahawa bekas penasihat undang-undang Pulau Pinang, Faiza Zulkifli, tidak dapat hadir untuk pemeriksaan balas hari ini kerana dijangkiti Covid-19.

Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta 10% daripada keuntungan projek itu daripada Pengarah Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, dan menerima RM3.3 juta sogokan daripada ahli perniagaan itu.

Beliau turut didakwa atas dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.

Pendengaran ditangguhkan kepada 26 Mei seperti ditetapkan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.