
Penurunan bilangan daftar masuk itu dicatatkan selepas pembentangan PAC pada Khamis, yang menimbulkan persoalan berhubung keselamatan data pengguna MySejahtera serta ketelusan dalam pembangunan aplikasi itu.
Data penggunaan MySejahtera dalam portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 24,358,225 daftar masuk pada 25 Mac lalu, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, angka itu menurun lebih 17% kepada 20,106,659 pada Sabtu, sebelum terus mencatatkan penurunan kepada 19,279,238 hari berikutnya.
Laporan itu dipetik berkata, Isnin lalu, jumlah daftar masuk terus menurun kepada 18,038,569, iaitu yang terendah dalam tempoh lebih tujuh bulan, sejak 22 Ogos tahun lalu.
Pendaftaran menerusi MySejahtera dilihat mencatatkan pola penurunan sejak awal tahun ini, dengan catatan sekitar 23 juta hingga 26 juta sejak beberapa minggu lalu, berbanding 29 juta hingga 33 juta hujung tahun lalu.
PAC sebelum ini mendedahkan aplikasi MySejahtera, yang awalnya bertujuan memudahkan proses pengesanan kontak rapat Covid-19, dibangunkan tanpa kontrak antara kerajaan dengan syarikat yang membangunkan aplikasi itu.
Laporan PAC itu juga mendedahkan Kabinet meluluskan kontrak secara runding terus untuk melantik syarikat baharu, MySJ Sdn Bhd, mengurus aplikasi berkenaan.
Dalam kenyataan Ahad lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, menjelaskan KKM tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta dan memberi jaminan data yang diperolehi diselia oleh kementerian itu sejak ia mula digunakan.
Katanya, data MySejahtera adalah bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan dan segala pengurusan data adalah melalui proses tadbir urus data yang ditetapkan.
“Penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.
“Justeru, data aplikasi ini tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.
“Malah, transaksi data daripada MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera,” katanya.