Polis tak kompromi dakwaan anggota enggan terima laporan keganasan rumah tangga

Polis tak kompromi dakwaan anggota enggan terima laporan keganasan rumah tangga

Polis akan mengambil tindakan tegas jika benar terdapat sebarang perlanggaran dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga sebagaimana didakwa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Abd Jalil Hassan meminta KPWKM dan mana-mana individu yang terkesan berhubung isu yang dibangkitkan untuk tampil memberi maklumat lebih terperinci. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis tidak akan berkompromi berhubung isu yang dibangkitkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bahawa ada anggota polis yang enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas jika benar terdapat sebarang pelanggaran peraturan dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga sebagaimana didakwa.

“Semenjak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 berkuat kuasa pada 1 Jun 1996, polis telah mengeluarkan beberapa arahan pentadbiran berhubung pengendalian penyiasatan kes keganasan rumah tangga untuk dipatuhi di semua peringkat.

“… termasuklah arahan tindakan tatatertib ke atas anggota yang enggan menerima laporan polis kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu katanya, polis meminta pihak KPWKM dan mana-mana individu yang terkesan berhubung isu yang dibangkitkan untuk tampil memberi maklumat lebih terperinci agar siasatan dalaman dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil ke atas anggota yang terlibat jika ia benar berlaku.

Pada Isnin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun dilaporkan berkata, pihaknya maklum mengenai rungutan bahawa sesetengah anggota polis enggan menerima laporan keganasan rumah tangga dengan alasan ia adalah isu keluarga.

Beliau menggesa mangsa terbabit supaya segera ke hospital bagi mendapatkan laporan perubatan.

“Laporan daripada hospital boleh diguna pakai supaya pihak polis tidak boleh menidakkan laporan yang mereka buat,” katanya, menurut laporan Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.