
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pasukan media sosial Najib lebih bagus, manakala Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pakatan pembangkang mengabaikan isu yang menjadi keprihatinan masyarakat.
Oh berkata, Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai pasukan media yang “lebih bermutu tinggi” yang tahu bagaimana untuk menyuarakan kebimbangan rakyat.
Tonton video di sini.
Najib yang menggelarkan dirinya “Raja Troll” juga mempunyai jentera perhubungan awam yang lebih baik berbanding PH, katanya.
PH sebaliknya sangat bergantung kepada sukarelawan, yang kerjanya terhalang susulan wabak Covid-19.
“Najib dapat menjelajah negara dan melihat kesukaran yang dihadapi oleh rakyat,” kata Oh kepada FMT.
Tambahnya, penting bagi PH untuk memperoleh kebolehan ini bagi memastikan perkara yang paling diperlukan negara dari segi sosioekonomi dan untuk kekal relevan kepada para pengundi.
Najib telah membina naratif untuk memastikan beliau bukan sahaja penting dari segi politik tetapi juga untuk “menenggelamkan” masalah undang-undang yang dihadapinya, kata Oh, merujuk kepada kes rasuah yang dihadapi bekas perdana menteri itu.
Dalam pada itu, Azmi berkata, PH terlalu tertumpu kepada skandal 1MDB.
“Rakyat marhaen tidak dapat mengaitkan isu 1MDB dengan kehidupan harian mereka, terutamanya semasa wabak sewaktu mereka bergelut untuk menampung kehidupan,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, Najib “merampas” keupayaan PH untuk berhubung dengan orang ramai, terutamanya di media sosial.
Rafizi, yang awal bulan ini mengumumkan kembali aktif dalam politik, berkata, beliau bersedia mengambil kembali naratif daripada Najib bagi meningkatkan daya tarikan PH di mata pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Kedua-dua penganalisis berpendapat, untuk Rafizi berjaya berbuat demikian, beliau mesti menunjukkan keupayaan mencipta naratif baharu yang menunjukkan PH mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat.
“Saya harap pembangkang yang lain dapat mengejar Rafizi atau bersedia mendengar katanya untuk membina naratif rakyat yang baharu,” tambah Oh.