Individu belum suntik dos ketiga masih boleh makan di restoran lepas 1 Apr

Individu belum suntik dos ketiga masih boleh makan di restoran lepas 1 Apr

Menteri Kesihatan berkata bagaimanapun maklumat sejarah vaksin primer yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera masih kekal.

Pemilik premis perlu pastikan hanya pelanggan atau pengunjung yang sekurang-kurangnya melengkapkan vaksinasi dos primer dibenarkan masuk ke premis perniagaan, rumah ibadat dan lain-lain berkenaan.
PETALING JAYA:
Individu yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak selepas 1 April masih dibenarkan makan di restoran, memasuki pusat beli-belah, tempat kerja dan rumah ibadat, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, bagaimanapun maklumat sejarah vaksin primer yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera masih kekal.

“Sehubungan itu, pemilik premis perlu pastikan bahawa hanya pelanggan atau pengunjung yang telah sekurang-kurangnya melengkapkan vaksinasi dos primer dibenarkan masuk ke premis perniagaan, rumah ibadat dan lain-lain yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Khairy berkata, pemakluman SOP terbaharu itu tidak bermaksud individu belum mendapatkan dos penggalak tidak perlu berbuat demikian.

“Data penilaian dijalankan dalam kalangan penerima vaksin di Malaysia mendapati tahap perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 menurun sehingga 20% bagi dua dos vaksin Pfizer dan 48% bagi dua dos vaksin Sinovac dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas vaksinasi primer.

“Pengambilan dos penggalak akan meningkatkan semula paras antibodi dalam tubuh, seterusnya boleh mengurangkan risiko gejala teruk akibat jangkitan Covid-19. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan dan menggalakkan individu belum menerima dos penggalak supaya mendapatkannya segera,” katanya.

Beliau berkata, semua penerima vaksin Sinovac dan Sinopharm berusia 18 tahun ke atas dan penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun ke atas yang belum menerima dos penggalak akan kehilangan status vaksinasi lengkap dalam MySejahtera.

Katanya, individu itu diiktiraf sebagai telah lengkap vaksinasi dos primer apabila memenuhi kriteria seperti berikut:

  • Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua;
  • Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Sementara itu, Khairy berkata mengambil maklum ketetapan terkini oleh Singapura berhubung insurans Covid-19 bermula 1 April serta atas dasar timbal balas, pengambilan insurans bagi pengembara lengkap vaksin dikecualikan.

“Golongan berkenaan adalah warganegara Singapura atau Malaysia; penduduk tetap Singapura atau Malaysia; pemegang pas jangka panjang di Singapura atau Malaysia. Pengecualian ini adalah terpakai bagi pengembara yang memasuki Malaysia dari Singapura dengan menggunakan laluan udara, darat dan laut,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas SOP berhubung keperluan insurans dalam kalangan pengembara luar negara dari negara lain, Khairy berkata, perlindungan insurans yang ditetapkan oleh Kerajaan bagi tujuan ini adalah pada kadar minimum USD20,000.

“Keperluan ini adalah terpakai ke atas pengembara warganegara asing yang memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Pendek, tanpa mengira status vaksinasi Covid-19 mereka. Perlindungan insurans tersebut antara lain adalah bagi menanggung kos kuarantin, rawatan dan kemasukan ke hospital, sekiranya dijangkiti Covid-19 di negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.