Anna Jenkins tidak sabar untuk bertemu ibunya, jururawat pergigian beritahu inkues

Anna Jenkins tidak sabar untuk bertemu ibunya, jururawat pergigian beritahu inkues

Lim Cheng Wooi, 30, berkata membantu menaiki mendapatkan perkhidmatan Uber pada hari wanita itu dilaporkan hilang secara misteri lima tahun lalu.

Anak lelaki Anna Jenkins, Greg (kiri) bercakap sesuatu dengan peguamnya Raveentharan Subramaniam (kanan). Turut kelihatan peguam Asmeeta Rajendran.
GEORGE TOWN:
Seorang jururawat pergigian memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa Annapuranee “Anna” Jenkins, wanita kelahiran Adelaide Australia, tidak sabar-sabar untuk bertemu ibunya di rumah warga emas Katolik dekat Air Itam di sini lima tahun lalu.

Lim Cheng Wooi, 30, berkata sepanjang menghadiri dua temujanji dengan klinik itu pada Disember 2017, Jenkins sering bercakap mengenai ibunya.

“Kami sangat mengenali Aunty Anna. Dia peramah dan baik terhadap kami.

“Ketika kali terakhir kami melihatnya, dia memberitahu sedang bercuti bersama suaminya dan ingin bertemu ibunya di rumah orang tua,” kata jururawat di Klinik Pembedahan Pergigian Goh di Pulau Tikus.

Lim berkata dia kali terakhir melihat Jenkins, 65, adalah di klinik pergigian pada 13 Dis 2017 — hari yang sama wanita itu hilang selepas menaiki Uber ke rumah jagaan orang tua Little Sisters of the Poor di Batu Lanchang Lane.

Ibu Jenkins, Marie-Anne Coomaraswamy, yang juga penghuni di rumah orang tua berkenaan meninggal dunia 10 bulan selepas kehilangannya pada Oktober 2018, ketika berusia 102 tahun.

Lim berkata selepas menerima rawatan di klinik pergigian berkenaan, Jenkins telah memintanya untuk mendapatkan perkhidmatan e-panggilan untuk bertemu Marie-Anne.

“Saya menggunakan telefon bimbit saya mendapatkan perkhidmatan Uber untuk menghantarnya pulang, kerana katanya dia tidak mempunyai aplikasi Grab atau Uber dalam telefon bimbitnya ketika itu.

“Saya memberikannya maklumat kenderaan dan nombor plat dan memaklumkan dia perlu membayar secara tunai kepada pemandu,” katanya.

Lim berkata dia hanya dimaklumkan Jenkins hilang sehari kemudian selepas anak lelakinya menelefon untuk bertanyakan di mana ibunya berada.

Katanya, Jenkins sepatutnya mencabut tiga giginya dan memasang gigi palsu pada hari dia hilang. Bagaimanapun, pembedahan terpaksa ditangguhkan selama tiga hari kerana kelewatan oleh pembekal.

Lim berkata Jenkins pertama kali datang ke klinik berkenaan dan mengadu bahawa tiga daripada giginya telah longgar pada 7 Dis. Dia kembali semula dua hari kemudian untuk membuat acuan gigi palsu baharunya.

Katanya, Jenkins sudah membayar sebanyak RM700 sebagai deposit dan baki RM1,100 dibayar oleh anaknya selepas kehilangannya.

Khairul Anuar Abdul Halim, yang membantu koroner, bertanya kepada Lim mengapa rekod perubatan Jenkins ditulis dengan pensel sedangkan kebanyakan rekod ditulis dengan pen mata bola.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim (kanan) bersama rakan sekerjanya di Mahkamah Koroner hari ini.

Lim berkata, tulisan pensel hanyalah nota catatan, yang menyatakan bahawa Jenkins mahukan tampalan kaviti, gigi palsu dan membuat permintaan lain. Dia berkata Jenkins telah membuat tampalan gigi pada hari dia dilaporkan hilang.

Apabila Lim memberitahu, beberapa tampalan gigi perlu dilakukan, peguam Raveentharan Subramaniam, yang juga peguam pemerhati keluarga, bertanya sama ada rawatan pergigian Jenkins memerlukan bius.

Lim berkata tiada keperluan untuk bius kerana rongga itu tidak dalam dan boleh digerudi tanpa bius.

Khairul kemudian bertanya kepada Lim tentang kamera litar tertutup (CCTV) di kliniknya. Lim berkata ketika kejadian, kamera di pintu masuk hadapan rosak, tetapi kamera bahagian dalam berfungsi.

Yazid Mustaqim Roslan, yang turut membantu dalam inkues, bertanya kepada Lim sama ada dia telah menerima resit untuk menaiki Uber yang diambil Jenkins. Lim berkata dia tidak pasti tetapi bersetuju untuk memberikan butiran lengkap mengenainya selepas diminta oleh Yazid.

Terdahulu, bekas pengarah bilik Hotel Jen Pulau Pinang V Thiruarasan memberitahu inkues bahawa dia telah membantu Jenkins memastikan aplikasi e-panggilan berfungsi. (Jenkins menginap di hotel pada masa itu.)

Katanya, aplikasi itu tidak berfungsi seperti yang diharapkan, dan Jenkins hanya berkata, “Saya nak cepat untuk temujanji pergigian saya,” dan mengambil teksi berhampiran hotel.

Inkues bersambung esok di hadapan koroner Norsalha Hamzah dengan keterangan pemandu Uber yang sepatutnya membawa Jenkins ke rumah penjagaan Little Sisters of the Poor.

Turut membantu dalam inkues itu ialah Farah Aimy Zainur Anwar dan Shahrezal Shukri manakala Asmeeta Rajendran bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Jenkins.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.