4 kali kedai disamun dalam 7 bulan, ahli perniagaan rayu bantuan polis

4 kali kedai disamun dalam 7 bulan, ahli perniagaan rayu bantuan polis

Kejadian terbaharu pada Sabtu lalu yang dirakam kamera litar tertutup.

Pemilik kedai (kanan) bersama Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Dickson Tan (tengah) dan seorang kakitangan menunjukkan laporan polis dan gambar rompakan.
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli perniagaan merayu bantuan polis selepas kedainya di Bandar Damai Perdana disamun empat kali dalam tempoh tujuh bulan.

Lelaki yang enggan namanya didedahkan itu berkata, dia telah membuat laporan polis namun tidak banyak tindakan diambil untuk menangani kejadian itu.

“Saya kecewa. Saya harap polis dapat membantu kerana ramai peniaga lain di kawasan ini turut bimbang kejadian samun itu berulang,” katanya pada sidang media hari ini.

Rakaman video rompakan di kedai menjual alat ganti dan aksesori komputer itu baru-baru ini tular di media sosial.

Menurut ahli perniagaan itu, kedainya dirompak Rabu lalu dan kejadian sama berulang pada Sabtu, yang dilakukan sekumpulan perompak terdiri daripada 15 hingga 20 orang.

Rompakan itu berlaku selepas kejadian sama pada Ogos dan Disember tahun lalu.

Laporan terbaru dibuat di Balai Polis Alam Damai, namun ahli perniagaan itu diminta merujuk ke Batu 9 kerana kes berkenaan bukan di bawah balai polis berkenaan.

Tanpa mendedahkan jumlah kerugian dialaminya, lelaki itu menggesa polis meningkatkan kawalan keselamatan untuk kebajikan rakyat.

“Kami menjalankan perniagaan secara jujur dan hanya mencari rezeki,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Dickson Tan.

Sementara itu, FMT menghubungi Ketua Polis Daerah Kajang, Zaid Hassan untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.