1MDB perolehi injunksi sementara aset Jho Low, bapa bernilai USD1.4 bilion

1MDB perolehi injunksi sementara aset Jho Low, bapa bernilai USD1.4 bilion

Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan injunksi sementara membabitkan bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng, melibatkan aset bernilai USD401.5 juta.

Peguam 1MDB, Siva Kumar Kanagasabai berkata, injunksi sementara diberikan dengan terma yang sama dengan perintah antara pihak dikeluarkan.
KUALA LUMPUR:
1MDB dan sebuah anak syarikatnya memperoleh injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi di sini, bagi menghalang ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau “Jho Low” daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya di Malaysia bernilai sehingga USD1.03 bilion.

Mahkamah juga membenarkan permohonan injunksi sementara yang dipohon syarikat sama ke atas bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng, melibatkan aset bernilai USD401.5 juta.

Peguam 1MDB, Siva Kumar Kanagasabai, berkata Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan injunksi itu dikuatkuasakan sehingga permohonan antara parti diselesaikan.

“Injunksi sementara diberikan dengan terma yang sama dengan perintah antara pihak yang dikeluarkan. Mahkamah menetapkan 25 Mei depan untuk pendengaran permohonan antara pihak,” kata peguam itu selepas prosiding yang berlangsung secara maya, hari ini.

1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) diwakili peguam Wong Chee Lin, Dhanyaa Shreeya, Kong Xin Qing dan Tommy Lim sementara M Puravalen, Chong Mun Fong dan Wong Hong Yi mewakili Jho Low dan bapanya.

Pada 15 Mac, Hayatul membenarkan permohonan injunksi mareva 1MDB dan Global Diversified yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam saman 1MDB terhadap Jho Low, bapa beliau dan beberapa individu lain.

Injunksi mareva merupakan perintah sementara yang mengekang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya daripada membelanjakan tidak lebih daripada RM20,000 sebulan bagi setiap perbelanjaan sara hidup dan perbelanjaan guaman dan jika mereka mahu amaun yang lebih, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam-peguam 1MDB dan Global Diversified.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman USD3.7837 bilion terhadap Jho Low; bapanya; ibunya Goh Gaik Ewe; kakak Jho Low, May Lin; adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.