Saksi utama sakit, bicara pengubahan wang haram Shafee ditangguh

Saksi utama sakit, bicara pengubahan wang haram Shafee ditangguh

Pihak pendakwaan berhasrat meneruskan pemeriksaan balas terhadap pegawai cukai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad esok.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah dibicarakan atas empat tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM9.5 juta yang dikatakan diterima daripada Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan kes pengubahan wang haram RM9.5 juta membabitkan peguam Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan kerana saksi utama tidak hadir.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata, saksi tersebut, iaitu bekas pegawai cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad sedang sakit.

“Kami berharap pemeriksaan balas Syed Nasrul dapat disambung esok sebelum kami memanggil saksi terakhir kami, iaitu pegawai penyiasat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” kata Afzainizam.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee berkata, pihak pembelaan mahu menamatkan pemeriksaan balasnya terhadap Syed Nasrul terlebih dahulu.

“Pemeriksaan balas kami terhadap IO (pegawai penyiasat) akan mengambil masa yang lama,” katanya.

Shafee dibicarakan atas empat tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM9.5 juta yang dikatakan diterima daripada Najib Razak.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa Shafee menyembunyikan RM9.5 juta tersebut yang dikatakan sebagai bayaran “yuran guaman” daripada Najib daripada LHDN.

Katanya, wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Shafee, bukan akaun firmanya.

Pihak pendakwaan juga berkata, Shafee menceritakan versi-versi yang tidak konsisten mengenai sebab pembayaran yang menjadi pertikaian.

“Dalam kenyataannya kepada SPRM pada 28 Julai 2017, tertuduh berkata, RM9.5 juta itu adalah yuran guamannya,” kata pihak pendakwaan.

“Bagaimanapun, pada 11 Sept 2018, beliau memberitahu SPRM bahawa beliau dan Najib bersetuju agar wang itu menjadi pinjaman, sementara menunggu rasionalisasi yuran yang telah dibayar kepadanya.”

Kes dibicarakan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.