Kemuka dokumen palsu, 9 kontraktor ditahan

Kemuka dokumen palsu, 9 kontraktor ditahan

Mereka dipercayai mengemukakan penyata bank palsu kepada sebuah pejabat kerajaan di Semporna.

Sembilan suspek, termasuk empat wanita, yang berusia 29 hingga 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM di Tawau pada 10 pagi tadi.
TAWAU:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sembilan kontraktor, termasuk empat wanita, selepas dipercayai mengemukakan penyata bank palsu kepada sebuah pejabat kerajaan di Semporna.

Semua suspek berusia 29 hingga 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM di sini pada 10 pagi tadi.

Menurut sumber, suspek melakukan perbuatan itu pada 2017 untuk mendapatkan sebut harga pengurusan kantin membabitkan kontrak lebih RM200,000 bagi tempoh dua tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan semua suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Tawau dalam masa terdekat.

Sementara itu, katanya, SPRM Keningau turut menahan dua kontraktor berusia 25 serta 32 tahun pada Jumaat lalu atas kesalahan sama membabitkan nilai kontrak kira-kira RM5 juta.

Karunanithy berkata, suspek lelaki dan wanita itu dipercayai mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan pembekalan makanan untuk sekolah rendah dan menengah berasrama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.