
Rang undang-undang (RUU) pindaan terbabit yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat itu bercadang untuk mengukuhkan beberapa hukuman bagi pengedaran dan penggunaan ubat-ubatan dan bahan psikotropik.
Ia juga mencadangkan agar pegawai penguat kuasa farmasi diberi kuasa tambahan.
Bagaimanapun, persoalan timbul mengenai penggunaan sebenar ubat-ubatan yang dikelirukan dengan jenayah pengedaran dadah.
FMT melihat Akta Racun, mengapa ia dicadang dipinda dan apakah yang dicadangkan oleh RUU baharu itu.
Apa itu Akta Racun 1952?
Akta Racun mengawal import, pemilikan, pengilangan, penyimpanan, pengangkutan, penjualan dan penggunaan ubat-ubatan dan bahan psikotropik tertentu yang ditakrifkan sebagai bahan beracun.
Bagi mengelakkan penyalahgunaan dan penggunaan yang bersifat jenayah, hanya pengedar yang sah dibenarkan menjual ubat-ubatan dan bahan psikotropik tersebut.
Kesalahan lazim bawah akta tersebut termasuk kegagalan untuk menyelaraskan rekod ubat yang diberikan kepada pesakit, terutamanya ubat preskripsi seperti ubat kencing manis dan darah tinggi, mengagihkan ubat tidak berdaftar atau tamat tempoh, atau mengagihkan ubat preskripsi tanpa preskripsi.
Mengapa ia dicadangkan dipinda?
Rang undang-undang (RUU) pindaan itu sebelum ini dibentangkan pada 2019 namun ditarik balik untuk disemak semula dan penelitian. Cadangan untuk meminda akta tersebut baru-baru ini dilihat sebagai langkah yang dialu-alukan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, pindaan itu telah “lama tertangguh” memandangkan Akta Racun perlu dikemas kini bagi mencerminkan perubahan ketara dalam sektor kesihatan.
Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow berkata, kerajaan berhasrat untuk menangani isu seperti ubat tiruan, pengedaran bahan psikotropik, lencongan prekursor dan transmisi rekod berkomputer.
Dalam undang-undang semasa tiada peruntukan untuk menangani masalah ini, termasuk kawalan dan sekatan ke atas penyelewengan dalam penggunaan bahan kimia.
Cadangan dalam RUU pindaan
Terdapat peningkatan ketara dalam penalti am berserta peningkatan kuasa pegawai penguat kuasa farmasi kerajaan.
Pindaan itu mencadangkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya. Pada masa ini, individu yang didapati bersalah dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya.
Pindaan selanjutnya mencadangkan penalti dinaikkan bagi sebarang perbuatan atau peninggalan berkaitan keingkaran yang disengajakan atau kecuaian boleh dipersalahkan yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa.
Undang-undang semasa memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak lebih dua tahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
RUU itu mencadangkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda maksimum RM200,000, atau kedua-duanya.
Pindaan yang dicadangkan juga akan memberi lebih banyak kuasa kepada pegawai penguat kuasa farmasi di sektor awam untuk menyiasat klinik pengamal am swasta, klinik veterinar, klinik pergigian dan farmasi komuniti bagi sebarang kesalahan berkaitan ubat-ubatan bawah Akta tersebut.
Pegawai yang dilantik akan dibenarkan menggeledah mana-mana premis dan merampas ubat-ubatan, peralatan, dokumen atau data komputer secara paksa jika ada sebab munasabah untuk mengesyaki sesuatu kesalahan dilakukan.
Pindaan itu juga bertujuan melindungi pegawai yang diberi kuasa daripada tindakan undang-undang sivil atau pendakwaan jenayah bagi sebarang perbuatan jika ia dilakukan “dengan niat baik dan dengan kepercayaan munasabah” bahawa ia adalah perlu untuk menguatkuasakan Akta Racun atau peraturannya.
Kebimbangan mengenai pindaan
Pindaan itu dikhuatiri akan mengelompokkan pengedaran dadah bersifat jenayah dengan penggunaan ubat-ubatan yang tulen.
Chow berkata, perubahan yang dicadangkan itu memerlukan peningkatan menyeluruh dalam denda dan hukuman penjara bagi hampir semua kesalahan yang ditetapkan bawah akta itu.
“Semua barangan berdaftar dan kegunaannya bagi tujuan perubatan dan penjagaan kesihatan dikelompokkan dengan aktiviti jenayah berkaitan pemerdagangan dan lencongan,” katanya, selain menambah bahawa ini akan menimbulkan potensi salah guna dalam proses penguatkuasaan.
Beliau mempersoalkan bagaimana pindaan itu akan menangani pelanggaran kecil akibat kesilapan pentadbiran atau pemantauan dalam operasi harian klinik dan farmasi swasta.
Chow berkata, aktiviti jenayah mesti ditangani mengikut undang-undang yang sesuai dan bawah Kanun Keseksaan berbanding Akta Racun.
Menurut Koh, lanjutan tempoh hukuman penjara tidak wajar bagi kesalahan tertentu dan akan menjadikan kesalahan remeh yang tidak membahayakan kesihatan sesiapa sebagai jenayah.
Saranan bagi RUU pindaan
Chow berkata, pindaan itu termasuk peruntukan yang membolehkan pengurusan mikro penyimpanan dan penjualan racun. Beliau mencadangkan akta itu menggariskan kuasa luas dan membiarkan butiran khusus dijelaskan dalam peraturan tambahan.
“Kesalahan bersifat teknikal seperti rekod atau pelabelan racun harus dikenal pasti dengan jelas dalam pindaan dan penalti minimum yang sesuai harus ditetapkan,” katanya.
Beliau menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menimbangkan semula cadangan kenaikan denda kerana pelaksanaannya bermakna Majlis Perubatan Malaysia boleh membatalkan lesen pengamal perubatan atas pelanggaran pentadbiran. Ini akan memudaratkan sistem kesihatan awam dalam jangka panjang, katanya.
Dengan bacaan kedua RUU pindaan itu ditangguhkan ke mesyuarat Parlimen seterusnya pada Julai, masih belum dapat ditentukan sama ada KKM akan lebih memperhalusi pindaan itu.