
Ketua Polis Daerah Kajang Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengawal keselamatan premis tersebut pada jam 9.35 pagi kelmarin.
“Semasa (pengawal keselamatan) sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan di premis peralatan komputer di Bandar Damai Perdana, Cheras dia telah diserang oleh sekumpulan lelaki lebih kurang 15 orang menggunakan kayu besbol.
Tonton video di sini.
“Suspek memecah masuk ke dalam premis dan melarikan peralatan komputer di tingkat satu yang dianggarkan bernilai RM70,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Zaid berkata, suspek menggunakan kenderaan Nissan Navara, Toyota Hiace, Perodua Alza dan Proton Exora ketika kejadian.
“Kenderaan pengadu juga dirosakkan oleh suspek semasa dia cuba menghalang mereka daripada melarikan diri.
“Pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Dua rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol menyamun kedai berkenaan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.