
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan tidak menjual aplikasi itu secara tender terbuka, selain mahu alasan diberikan di sebalik pemilihan MySJ Sdn Bhd menjadi satu-satunya syarikat yang ditimbangtara bagi tujuan itu.
“Apakah skop dan kepakaran MySJ Sdn Bhd terkait pengoperasian MySejahtera dan bagaimana KKM boleh memastikan data-data yang dikumpul oleh aplikasi itu tidak akan disalah guna oleh pihak ketiga termasuk MySJ Sdn Bhd.
“Apakah syarat kontrak tertakluk kepada jaminan dibuat KKM sebelum ini tentang data kesihatan peribadi, dasar kerahsiaan MySejahtera dan undang-undang negara yang mengawal selia kerahsiaan data individu?” soalnya di Facebook, semalam.
Anwar berkata, pada 24 Mac 2022, sidang Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah membangkitkan persoalan tentang penjualan aplikasi pengesanan Covid-19 kepada sebuah syarikat swasta.
“Keputusan kerajaan untuk ‘penyerahan’ ini telah diputuskan oleh Kabinet pada tanggal 26 Nov 2021. Kebenaran telah diberikan oleh Kabinet kepada KKM untuk melantik MySJ Sdn Bhd melalui mekanisme runding terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera,” katanya.
Namun, katanya, pada Disember 2021, PAC telah mengesyorkan agar kerajaan sepatutnya mengambil alih operasi MySejahtera tanpa kos tambahan memandangkan ia kini menjadi elemen penting dalam sistem kesihatan negara.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata penjualan aplikasi terbabit kepada syarikat swasta hanya menimbulkan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi dan kemungkinan wujudnya penyalahgunaan maklumat kesihatan jutaan rakyat Malaysia.