Jangan tangguh projek CIQ Sabah, Bung beritahu Putrajaya

Jangan tangguh projek CIQ Sabah, Bung beritahu Putrajaya

Alasan tidak cukup peruntukan tidak dapat diterima memandangkan Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) di Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM20 bilion, boleh dilaksanakan.

Projek kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kalabakan pula sebaliknya jauh lebih murah dan sama pentingnya untuk rakyat Sabah seperti perlunya MRT2 di Semenanjung, kata Bung Moktar Radin. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan persekutuan didesak menarik balik keputusan menangguhkan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bernilai RM600 juta di Kalabakan atas alasan tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan.

Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin, berkata keputusan berkenaan tidak adil kepada rakyat Sabah yang memerlukan pemangkin ekonomi bagi membangunkan kawasan Pantai Timur Sabah agar lebih maju.

Katanya, penangguhan diumumkan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof itu amat mengejutkan, lebih-lebih lagi projek berkenaan telah pun bermula dan berjalan dengan lancar.

“Alasan ini tidak boleh diterima kerana CIQ itu akan membantu lonjakan ekonomi Sabah kesan daripada perpindahan ibu kota Indonesia di Kalimantan.

“Sudah terlalu lama Sabah ketinggalan daripada sektor ekonomi berbanding Semenanjung walaupun hakikatnya kita menyumbang hasil yang banyak kepada negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bung berkata, Sabah tidak boleh dijadikan mangsa kepada kekangan kewangan kerajaan persekutuan memandangkan lebih banyak projek pembangunan di Semenanjung sebagai contoh Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) di Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM20 bilion sudah hampir disiapkan.

Beliau berkata, projek CIQ Kalabakan pula sebaliknya jauh lebih murah dan sama pentingnya untuk rakyat Sabah seperti perlunya MRT2 di Semenanjung.

“Dengan pembukaan Kalimantan Timur sebagai ibu negara baharu Indonesia, perpindahan rakyat Indonesia dari kepulauan Jawa dijangka berlaku secara besar-besaran, maka tempias ekonomi akan turut melanda Pantai Timur Sabah.

“Tetapi syaratnya ialah kita perlu sediakan kemudahan lebih-lebih lagi Lebuh Raya Trans-Borneo sedang menanti untuk menghubungkan Sabah dengan Kalimantan,” katanya.

Bung berkata, sekiranya kerajaan kekal menangguhkan projek berkenaan, Sabah akan terus ketinggalan.

Katanya, projek CIQ di Kalabakan jika siap, bakal menjadi pintu masuk antara Sabah dan Indonesia melalui Kalimantan Utara. Projek di Serudong itu merupakan sebahagian daripada projek Jalan Kalabakan- Serudong iaitu antara pakej dalam Lebuh Raya Trans-Borneo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.