
Beliau berkata, perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam yang berpendapat MoU itu hanya terpakai kepada undang-undang atau rang undang-undang yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan kepada kerajaan.
“Ia sama ada rang undang-undang pembekalan atau lebih dikenali sebagai bajet, belanjawan atau usul tidak percaya. Kalau undang-undang biasa ia tidak akan terpakai, termasuklah usul SOSMA ini.
“Mereka cuma tidak menyokong usul di dalam SOSMA itu, iaitu lanjutan peruntukan penahanan 28 hari tanpa bicara, bukannya mereka (pembangkang) sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan.
“Malah, pembangkang turut menyebut mereka tidak bermaksud untuk menarik sokongan kepada MoU,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin membentangkan usul yang mencadangkan lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA selama lima tahun lagi, bermula 31 Julai ini.
Dewan Rakyat menolak usul itu selepas 86 Ahli Parlimen mengundi menentang dan 85 lagi menyokong. Baki 49 Ahli Parlimen tidak hadir.
Subseksyen 4(5) SOSMA membolehkan polis menahan tanpa bicara seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari bagi siasatan.