SPPP serah laporan bertulis berhubung pembinaan terowong dasar laut minggu depan

SPPP serah laporan bertulis berhubung pembinaan terowong dasar laut minggu depan

Laporan terperinci ulasan bertulis itu termasuk dari segi kepakaran dan sudut perkapalan berkaitan pembinaan terowong dasar laut.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Tan Teik Cheng menunjukkan pelan naik taraf bagi terminal feri Raja Tun Uda di George Town. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan menghantar ulasan bertulis berhubung projek terowong dasar laut kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, minggu depan.

Pengerusinya, Tan Teik Cheng, berkata ketika ini SPPP bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sedang melengkapkan ulasan bertulis itu termasuk laporan terperinci dari sudut perkapalan sebelum menyerahkannya kepada kerajaan negeri.

“Kami akan kemukakan laporan terperinci ulasan bertulis itu termasuk dari segi kepakaran dan sudut perkapalan berkaitan (pembinaan terowong dasar laut) minggu depan untuk (tindakan) kerajaan negeri.

“Ketika ini kami telah kumpul semua maklumat, dan kita ada halangan jugalah (berhubung pembinaan terowong dasar laut) namun telah senaraikannya dalam laporan itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth, di sini, dan Pangkalan Raja Tun Uda di George Town, dekat sini, bagi melihat perkembangan projek naik taraf kedua-dua terminal berkenaan.

Tan berkata demikian sebagai mengulas laporan media sebelum ini mengenai akhbar mengenai kerajaan negeri Pulau Pinang yang masih belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung kajian kebolehlaksaaan projek terowong dasar laut yang dibentangkan kepada Exco, Februari lalu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan, berkata pihaknya akan membuat keputusan berkaitan projek terowong dasar laut itu selepas menerima ulasan bertulis mengenai kajian kebolehlaksanaannya daripada SPPP dan PPSB.

Chow juga dilaporkan, berkata ulasan secara bertulis itu diperlukan supaya kerajaan negeri dapat membuat pertimbangan lanjut meskipun hasil kajian kebolehlaksanaan secara teknikalnya menunjukkan bahawa projek terowong dasar laut boleh dilaksanakan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan antara projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) dengan nilai keseluruhan RM46 bilion.

Sebelum ini, media melaporkan syarikat konsesi Consortium Zenith Construction telah menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan hujung 2020, selepas ditangguhkan selama empat tahun, dan telah menyerahkannya kepada kerajaan negeri pada bulan Disember tahun sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.