Dasar wajibkan pelajar antarabangsa belajar Bahasa Melayu dah lama wujud, kata Teo

Dasar wajibkan pelajar antarabangsa belajar Bahasa Melayu dah lama wujud, kata Teo

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata cadangan Perdana Menteri menimbulkan kekeliruan kerana dasar itu sudah wujud sejak 2014.

Teo Nie Ching berkata, ini kerana dasar mewajibkan pelajar antarabangsa belajar Bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) sememangnya sudah wujud sejak 2014.
PETALING JAYA:
Pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang mewajibkan pelajar antarabangsa belajar Bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) menimbulkan kekeliruan.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Pakatan Harapan, Teo Nie Ching berkata, ini kerana dasar tersebut sememangnya sudah wujud sejak 2014.

Justeru, beliau berkata, pengumuman dibuat Ismail pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 pada 19 Mac lalu itu adalah kurang jelas.

“Pelajar antarabangsa memang sudah pun diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu Komunikasi dalam konsep Mata Pelajaran Pengajian Umum. Mereka juga berpeluang mempelajari Hubungan Etnik dan Tamadun Asia dan Tamadun Asia (TITAS).

“Program ini telah diterapkan sejak 2014 dan dilaksanakan oleh setiap universiti tempatan yang mengambil pelajar antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Teo, Ismail seperti tidak membuat semakan lebih awal dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau bertanya kepada menterinya, Noraini Ahmad, sebelum membuat pengumuman tersebut.

“Komuniti akademik dan pelajar antarabangsa rata-rata juga terpinga-pinga mengapa perdana menteri menuntut sesuatu yang sudah pun wujud dalam mata pelajaran pengajian tinggi,” katanya.

Malah kata Ahli Parlimen Kulai itu lagi, seorang ahli akademik Universiti Nottingham Malaysia, Zaharom Nain, menganggap pengumuman Perdana Menteri sebagai berinspirasi politik.

Beliau meminta agar Ismail memberi memberikan penjelasan lanjut mengenai dasar yang ingin dilaksanakan itu dan tidak berucap semata-mata mahu mendapatkan sokongan ahli.

“Pada pendapat saya, program Mata Pelajaran Umum secara keseluruhannya sudah memadai bagi pelajar antarabangsa untuk mengetahui lebih lanjut tentang negara kita.

“Saya harap perdana menteri tidak berucap atas pentas parti semata-mata mahu mendapatkan sokongan ahli tetapi membuang masa dan mengelirukan rakyat tanpa usul periksa apa yang sudah dilaksanakan di peringkat kementerian,” katanya.

Ketika menggulung perbahasan di PAU, Ismail berkata, kerajaan mewajibkan pelajar asing untuk mengambil subjek Bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran mereka.

Beliau berkata, langkah tersebut dibuat bagi memartabatkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.