Warga emas sukar ke PPV, khidmat suntikan penggalak di rumah disediakan

Warga emas sukar ke PPV, khidmat suntikan penggalak di rumah disediakan

Usaha ini bagi melindungi warga emas kerana mereka adalah golongan berisiko.

Permohonan mendapatkan khidmat berkenaan boleh dipohon menerusi aplikasi MySejahtera, menerusi laman web ProtectHealth, melalui aplikasi WhatsApp, selain menghubungi talian hotline.
PETALING JAYA:
Warga emas yang tidak dapat hadir ke ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana masalah logistik kini boleh mendapatkan suntikan dos penggalak di rumah menerusi inisiatif disediakan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd (ProtectHealth), melalui program Home Vaccination.

ProtectHealth berkata, perkhidmatan itu bagi mempercepatkan vaksinasi sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada penerima vaksin yang tidak mendapat dos penggalak, selewat-lewatnya pada 31 Mac 2022.

Selain itu, katanya, ia juga bagi melindungi warga emas kerana kumpulan itu termasuk dalam golongan berisiko.

“Terutama pada Ramadhan, kebanyakan warga emas dijangka berhimpun di masjid untuk menunaikan solat Tarawih dan menghadiri majlis sama ada di dalam atau di luar rumah.

“Dengan situasi ini yang dijangka berlaku dalam tempoh yang berpanjangan dan biasanya mereka berada dalam jarak yang dekat, berkemungkinan penularan virus Covid-19 lebih tinggi,” kata ProtectHealth dalam kenyataannya, hari ini.

Orang awam yang mempunyai tanggungan warga emas di rumah yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin boleh menghubungi talian hotline 1700-811-007 setiap hari mulai 28 Mac 2022 (9 pagi hingga 5 petang).

Sebagai alternatif, orang ramai boleh menghantar teks melalui aplikasi WhatsApp di talian +6012-6787911 dan mereka akan menerima maklum balas dalam masa 1 hingga 3 hari.

Pendaftaran juga boleh dibuat melalui laman web ProtectHealth.

Selain itu, permohonan juga boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera.

Menurut kenyataan itu, ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta dan NGO penjagaan kesihatan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mempercepat dan memaksimumkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk dos penggalak.

Sehingga 24 Mac 2022, sebanyak 15.5 juta dos penggalak telah diberikan dan 12 juta dos atau 77.4% disumbangkan oleh Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penjagaan Kesihatan di bawah ProtectHealth.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.