
Pengurus program penjagaan sungai Global Environment Centre, K Kalithasan berkata, keputusan itu dilihat sebagai “gila” dan “tidak bertanggungjawab”.
Katanya, beliau kesal apabila kerajaan mempertimbangkan cadangan itu walaupun selepas dilanda banjir pada akhir Disember dan awal tahun ini.
Tonton video di sini.
“Ia sangat gila apabila mereka mahu menceroboh dan membangunkan kawasan ini hanya kerana ia tidak digazetkan sebagai kolam tadahan dalam pelan daerah tempatan,” katanya.
“Menteri dan seluruh rakyat Malaysia perlu faham bahawa air juga memerlukan ruang. Kita sentiasa terlepas pandang.”
Kalithasan berkata, corak taburan hujan telah berubah akibat perubahan iklim dan menyebabkan jumlah hujan yang lebih tinggi dalam tempoh singkat.
“Kita perlu memastikan bahawa kita mempunyai ruang yang cukup untuk menampung air sebelum ia dilepaskan ke laut,” katanya.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican berkata, kerajaan membenarkan 13 kawasan yang sebelum ini dikenal pasti sebagai kolam tadahan dibangunkan sebagai kawasan perumahan.
Sembilan daripada kolam itu adalah di Perak, tiga di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.
Kalithasan berkata, bilangan lokasi untuk menyimpan air akan berkurangan jika cadangan itu diteruskan.
“Keduanya, kolam sedia ada hanya berupaya menampung jumlah air yang sedikit berbanding sebelum ini disebabkan ia penuh dengan sampah dan enapan. Ini akan memberi kesan besar terhadap banjir di kawasan tertentu,” katanya.
Katanya, syarikat pemaju perumahan perlu mencari penyelesaian lebih mampan sekiranya rancangan itu diteruskan walaupun terdapat bantahan.